Microsoft nampaknya sedang memfokuskan terhadap pembangunan masa hadapan jenama konsol permainan video Xbox mereka dengan pengumuman sejumlah kerjasama bersama syarikat-syarikat lain, seperti ASUS, yang mana mereka akan memperkenalkan konsol mudah-alih ASUS ROG Xbox Ally yang berdasarkan konsol ROG Ally X yang dilancarkan sebelum ini.
Leaked: https://t.co/FO9FIVnFxD pic.twitter.com/qAiDKHsvje
Terkini, Microsoft juga nampaknya akan bekerjasama dengan Meta untuk pembangunan set realiti maya mereka sendiri. Kerjasama diantara kedua-dua syarikat ini bukanlah sesuatu yang baru, apabila Meta mengumumkan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan Microsoft untuk membangunkan produk ini dua tahun lalu.

Perkara ini tidak mendapat begitu banyak perhatian sehingga kini, apabila berkas aksesori tersebut telah tertiris ke arena web melalui ciapan oleh Zuby__Tech di platform media sosial X. Dari rekaan set realiti maya tersebut, ia dapat dilihat bahawa ia merupakan sebuah penjenamaan semula dari set realiti maya Meta Quest 3S yang dinamakan Meta Quest 3S Xbox Edition.
Spesifikasi set realiti maya ini sama seperti Meta Quest 3S biasa, cuma ia hadir dengan rekaan berwarna hitam dan logo Xbox tetapi tidak banyak butiran lain yang diketahui mengenainya. Tirisan maklumat lain mengenai set realiti maya ini ialah Microsoft dan Meta dijangka akan mula menjualnya pada penghujung bulan Jun ini (24 Jun 2025), dan akan dijual di pasaran-pasaran tertentu pada harga $399.
