KPDN Melaka tahan dua individu seleweng minyak masak bersubsidi

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2026 • 4:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: KPDN Melaka tahan dua individu seleweng minyak masak bersubsidi

KPDN Melaka menahan dua lelaki dan menyita 425kg minyak masak peket bersubsidi bernilai RM1,062.50 menerusi Ops Tiris 4.0 di Batu Berendam.

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini hari ini.

Pengarah KPDN Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata pihaknya menahan kedua-dua suspek, masing-masing berusia 45 dan 53 tahun dalam serbuan kira-kira 10 pagi itu.

“Kedua-dua suspek merupakan seorang peruncit dan pembeli minyak masak terpakai dan hasil serbuan menemukan kira-kira 425 kilogram (kg) minyak masak peket dianggarkan bernilai RM1,062.50 yang dibawa ke rumah individu menjalankan perniagaan jual beli minyak terpakai itu.

“Siasatan awal mendapati bekalan minyak masak peket bersubsidi itu diperoleh daripada sebuah kilang minyak masak sebelum dicampur dengan minyak masak terpakai dan dijual kepada pihak ketiga bagi tujuan penyelewengan,” katanya pada sidang media di Stor KPDN Krubong di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barangan bersubsidi berkenaan.

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan keadaan yang menimbulkan syak munasabah bagi tujuan melakukan kesalahan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi syarikat pula tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

“KPDN Melaka akan terus memerangi aktiviti penyelewengan ini demi kesejahteraan masyarakat dan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar tidak sesekali cuba memanipulasi, menyeleweng atau berurusan dengan barang kawalan tanpa permit dan lesen yang sah.

“Fokus utama Ops Tiris 4.0 bersepadu adalah untuk memastikan ketirisan subsidi negara dapat dibendung sepenuhnya dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved