
KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menahan seorang lelaki bersama dengan rampasan 11,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM61,440, yang disyaki diseleweng di sebuah kuari di Sungai Batu Pahat, di sini semalam.
Pengarah KPDN Perlis Rohaida Hassan berkata lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an itu ditahan dalam operasi antara 3 petang hingga 11.30 malam yang disertai 13 anggota penguat kuasa KPDN negeri itu.
“Semasa serbuan di lokasi itu menemukan sebuah lori bernombor pendaftaran tempatan yang dipercayai cuba meninggalkan premis berkenaan. Pemeriksaan lanjut di lokasi itu menemukan dua unit tangki skid yang disyaki berisi diesel berjumlah 11,000 liter, pam dan dua unit hos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rohaida berkata pada masa sama juga, satu lagi pasukan turut membuat serbuan di sebuah stesen minyak di Beseri dekat Padang Besar, yang disyaki mempunyai kaitan dengan pembekalan diesel kepada pengoperasian kuari itu.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut di stesen minyak itu menemukan sembilan unit kad flit yang dipercayai disalahgunakan untuk pembelian minyak diesel dan kesemua kad itu disita berserta satu unit kamera litar tertutup (CCTV) dan beberapa dokumen untuk siasatan lanjut.
“Nilai rampasan di stesen minyak berkenaan dianggarkan berjumlah RM400, manakala nilai rampasan keseluruhan termasuk sebuah lori bernombor pendaftaran tempatan, dianggarkan berjumlah RM78,240,” katanya.
Rohaida berkata tindakan itu kes itu merupakan hasil risikan yang dibuat selama seminggu oleh anggota penguat kuasa KPDN Perlis dan siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata KPDN Perlis memberi amaran keras dan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan itu.
“Tindakan tegas akan diambil, termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613),” katanya.





