
KOTA BHARU – Sebanyak 172 kilogram beras pelbagai jenama yang disyaki diseludup dari Thailand dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di pangkalan haram Kuala Jambu, Tumpat, semalam.
Rampasan kira-kira 4 petang itu turut melibatkan sebuah kereta Proton Wira yang ditinggalkan seorang lelaki sebelum melarikan diri ke Thailand selepas menyedari kehadiran anggota PGA.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan itu dilaksanakan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA Kuantan, Pahang, dengan bantuan Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan (KSPBN).
Beliau berkata, ketika menjalankan rondaan di Sektor Pengkalan Kubor, anggota telah mengesan kenderaan berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan berhampiran pangkalan haram berkenaan.
“Menyedari kehadiran anggota, seorang lelaki yang berada berhampiran kenderaan itu bertindak melarikan diri ke arah sungai berdekatan sebelum menaiki perahu ke Thailand,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Radzi berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan menemukan tiga kampit beras jenama Serindit seberat 72 kilogram dan empat kampit beras jenama Nangka seberat 100 kilogram.
Katanya, kereta berkenaan turut dirampas bersama anak kunci, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM4,688, merangkumi RM4,000 bagi kenderaan dan RM688 bagi beras.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994 dan semua barang rampasan diserahkan kepada KSPBN Kelantan untuk tindakan lanjut.- BERNAMA
The post PGA rampas 172 kg beras Siam pelbagai jenama di pangkalan haram appeared first on Kosmo Online.






