
MELAKA – Kementerian Kerja Raya (KKR) menetapkan sasaran jumlah projek sakit di seluruh negara tidak melebihi tiga peratus menjelang November ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, perkara itu ditetapkan selepas jumlah projek sakit menunjukkan penurunan daripada lima peratus kepada 4.13 peratus, membabitkan 36 daripada keseluruhan 871 projek bernilai RM50.6 bilion yang dalam pembinaan.
Jelasnya, daripada 871 projek yang sedang dilaksanakan, sebanyak 259 projek atau 29.4 peratus mendahului jadual, manakala 304 projek atau 35 peratus dijangka siap mengikut jadual.
“Pada mesyuarat yang lepas, projek sakit yang direkodkan adalah lima peratus, manakala pada mesyuarat di Melaka kali ini, projek sakit adalah 36 bersamaan 4.13 peratus daripada 871 projek.
“Justeru, saya sudah mengarahkan supaya penetapan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dikemukakan pada mesyuarat sama di Sarawak, November depan supaya semua projek sakit diturunkan tidak melebihi tiga peratus daripada keseluruhan projek dalam pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan Tiga 2026 di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Katanya lagi, KKR menyasarkan sifar projek sakit tahun ini, namun terdapat beberapa halangan tertentu termasuk isu pengambilan balik tanah dan masalah kontraktor.
Katanya, pihaknya tidak hanya melihat jumlah keseluruhan projek sakit, sebaliknya setiap satu daripada 36 projek berkenaan diteliti secara terperinci bagi mengenal pasti punca kelewatan serta penyelesaian.
“Jangan kita lihat yang 4.13 peratus itu sahaja, 36 itu sahaja. Kami membuka setiap fail 36 itu daripada pukul 9.30 pagi tadi sampai pukul 12 tengah hari.
“Setiap satu, tak ada satu pun yang kami skip (langkau) daripada 36 yang sakit itu untuk diagnosis dan selesaikan dengan Pengarah Kanan, pengarah-pengarah bahagian dan cawangan di ibu pejabat bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri dan pegawai-pegawainya,” katanya.
Tambahnya, isu kontraktor menjadi antara punca utama yang mempengaruhi kelewatan pelaksanaan projek dengan menyumbang 81 peratus, selain kelemahan pengurusan projek, masalah aliran kewangan, kekurangan tenaga kerja dan bahan binaan di tapak.
Beliau berkata, JKR turut melaksanakan diagnosis awal terhadap setiap projek bermasalah termasuk mengenal pasti isu kewangan kontraktor, kekurangan pekerja, kelewatan penghantaran bahan binaan serta kekurangan mesin sebelum tindakan lanjut diambil.
The post KPI baharu projek sakit bawah 3 peratus menjelang November appeared first on Kosmo Digital.






