
SHAH ALAM, 1 OKT: Kementerian Pendidikan mengarahkan semua program melibatkan seorang penceramah bebas yang didakwa berkelakuan tidak wajar ketika mengendalikan program bersama murid di sekolah dihentikan serta-merta.
Menterinya Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata langkah itu bagi memberi ruang untuk siasatan penuh dijalankan susulan terdapat beberapa dakwaan yang tular di media sosial membabitkan penceramah tersebut.
“Dakwaan yang dibangkitkan adalah serius memandangkan ia melibatkan keselamatan dan perlindungan murid. Saya telah meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini.
“Keselamatan murid mesti dipandang serius serta diteliti. Keselamatan anak-anak di bawah jagaan KPM tidak boleh dikompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadhlina turut menyeru individu yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membuat laporan polis bagi memastikan anak-anak mendapat perlindungan dan sokongan sewajarnya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai penceramah berkenaan dikatakan terlibat perlakuan pedofilia dengan menjadikan pelajar yang menyertai program kendaliannya sebagai mangsa.






