
SHAH ALAM, 3 OGOS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memberi perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kerling susulan pemergian seorang guru di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad mengadakan lawatan ke sekolah tersebut hari ini bagi menyantuni keluarga mendiang, warga sekolah serta meninjau perkembangan semasa.
“Lawatan ini bertujuan menzahirkan keprihatinan KPM serta memastikan sokongan khususnya dari aspek kebajikan dan kesejahteraan emosi kepada semua pihak yang terkesan terus diberikan,” maklum Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) menerusi Facebook.
Sepanjang lawatan itu, Mohd Azam turut mengadakan pertemuan bersama pihak pengurusan sekolah, guru dan warga sekolah bagi mendapatkan perkembangan terkini serta meneliti langkah sokongan yang sedang dilaksanakan.
Turut hadir Pengarah JPNS, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim; Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah JPNS, Abdul Rahim Khalid; Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Selangor, Zainal Ismail serta beberapa pegawai pendidikan.
KPM turut berharap keluarga mendiang terus diberi kekuatan dan ketabahan, manakala seluruh warga SJKT Ladang Kerling dapat meneruskan kehidupan dalam suasana yang saling menyokong, prihatin dan penuh kasih sayang.
Sebelum ini, media melaporkan seorang guru berusia lingkungan 30-an di sebuah sekolah di Hulu Selangor ditemukan meninggal dunia dalam bilik guru, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.15 pagi.
Beliau berkata mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.






