
MELAKA - Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, hari ini didakwa di mahkamah atas pertuduhan menghasut.
Ia susulan kenyataan yang didakwa dibuatnya berhubung isu pengisytiharan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 pada Jun lalu.
Rais, 84, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan pada sidang media di sebuah hotel di Simpang Ampat, Alor Gajah, kira-kira jam 1 tengah hari, 5 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, Rais didakwa membuat kenyataan yang menyatakan sokongan terhadap Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, termasuk menyeru orang ramai memberikan taat setia kepada baginda.
Antara kenyataan yang didakwa diucapkannya ialah “Mendoakan selamat kepada Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12. Jadi, selepas ini, bebaslah, Yang Duli Yang Maha Mulia Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar ke-12, melakukan apa-apa sahaja hal kedirajaan.”
Beliau turut didakwa berkata: “Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan.”
Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Rais yang diwakili pasukan lima peguam diketuai anaknya, Danni Rais, memohon supaya jumlah jaminan itu dikurangkan.
Peguamnya memaklumkan, Rais memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa walaupun hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan terhadapnya kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Raja Noor Adilla kemudian membenarkan Rais diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - Getaran, 25 September 2026





