Rais Yatim mengaku tidak bersalah tuduhan menghasut

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 11:05 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rais Yatim mengaku tidak bersalah tuduhan menghasut

MELAKA – Bekas Senator Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut ketika berada di sebuah majlis di hotel di Alor Gajah, Melaka, 5 Jun lalu.

Beliau yang kini berusia 84 tahun membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, Rais didakwa telah menyebut perkataan menghasut iaitu ‘Mendoakan selamat kepada Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12’.

“Jadi, selepas ini, bebaslah, yang, Duli Maha Mulia, Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Ke-12, melakukan apa saja hal-hal kedirajaan.

“Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan,” katanya.

Perbuatan itu dilakukan beliau kira-kira pukul 1 petang di sebuah hotel di Alor Gajah pada 5 Jun lalu.

Sabit kesalahan, Rais yang juga Pengerusi Parti Wawasan Negara boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan barisan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd. Izhar mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Rais telah diwakili anaknya sendiri, Danni Rais bersama empat peguam yang lain, Sheela Menon, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, Ahmad Soleh Yusof dan Syahmi Aiman Mohamed Nasir.

Danni dalam hujahnya memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik meskipun pertuduhan tersebut hanya diketahui pada pukul 10.30 malam tadi dan beliau bergegas bergerak dari Kuala Lumpur pada pukul 7 pagi tadi ke Melaka bagi menghadiri prosiding di mahkamah.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 27 Oktober depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

The post Rais Yatim mengaku tidak bersalah tuduhan menghasut appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved