Krisis Istana Negeri Sembilan: ‘Siapa Penasihat Barisan Exco?’ - Peguam

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 4:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Krisis Istana Negeri Sembilan: ‘Siapa Penasihat Barisan Exco?’ - Peguam

KUALA LUMPUR - Kemelut menyelubungi institusi diraja Negeri Sembilan yang kian parah mencetuskan persoalan ramai, khususnya dalam kalangan pakar perundangan.

Majoriti mereka melahirkan rasa terkejut melihat tindakan barisan Exco kerajaan negeri yang sewenang-wenang mengeluarkan kenyataan menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar. 

Peguam kanan, S. Raveentharan berkata, beliau amat ‘teruja’ untuk mengetahui penasihat di sebalik tindakan tersebut, yang berpotensi membawa implikasi serius dan boleh disifatkan sebagai cubaan rampasan kuasa.

Menurut beliau, pihak terlibat berkemungkinan besar tidak menyedari perkara itu dan natijah daripada perbuatan mereka walaupun hakikatnya, ia jelas keterlaluan.

“Saya berpendapat kerajaan negeri mungkin telah menerima nasihat yang kurang tepat, walaupun Negeri Sembilan mempunyai perlembagaan negeri yang unik.

“Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 merupakan satu-satunya perlembagaan negeri di Malaysia yang mempunyai struktur dua bahagian, dengan menggabungkan adat tradisi Adat Perpatih bersama sistem perundangan bertulis moden,” katanya.

Jelas Raveentharan, keistimewaan perlembagaan Negeri Sembilan turut terletak pada pengiktirafan terhadap sistem pemerintahan tradisional berasaskan Adat Perpatih serta peranan ketua-ketua adat.

“Bahagian pertama perlembagaan memperuntukkan kedudukan struktur pemerintahan tradisional Adat Perpatih dan peranan ketua adat, yang tidak terdapat dalam perlembagaan negeri-negeri lain.

“Negeri Sembilan juga mengamalkan sistem pemerintahan beraja secara pemilihan, yang menetapkan Yang di-Pertuan Besar dipilih oleh Undang Yang Empat, berbeza daripada sistem pewarisan takhta berdasarkan susur galur keturunan semata-mata,” katanya.

Beliau pada masa sama menegaskan, soal kesetiaan kepada institusi diraja tidak seharusnya diketepikan hanya kerana wujud pertikaian dalaman mengenai individu yang berhak ke atas takhta Negeri Sembilan.

Raveentharan menarik perhatian, perkembangan terkini krisis tersebut menimbulkan kebimbangan bahawa kedudukan institusi beraja di negeri-negeri Melayu lain juga berpotensi terjejas, sekiranya seorang pemerintah yang  menduduki takhta boleh diturunkan secara paksaan.

Bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR itu berkata, isu terbabit turut menimbulkan persoalan perundangan yang lebih besar; sama ada seorang Menteri Besar atau kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menentukan bahawa seseorang Raja tidak lagi sah menduduki takhta.

“Pada ketika ini, perkara tersebut perlu diselesaikan berdasarkan peruntukan perlembagaan dan tafsiran undang-undang.

“Namun, ia perlu dilakukan dengan segera kerana rakyat mengharapkan sebuah kerajaan negeri yang dapat berfungsi seperti biasa, terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi,” katanya.

Seorang lagi peguam yang enggan dikenali berkata, siasatan terperinci harus dijalankan untuk mengenal pasti dalang di sebalik kemelut berkenaan.

Krisis seumpama itu katanya, tidak timbul secara tiba-tiba tanpa sebarang faktor penyumbang.

"Pasti ada pihak yang mengatur semua ini dan dalang itulah yang sebenarnya menjadi punca.

"(Pihak berkuasa) Perlu siasat segera untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab mencetuskan krisis ini hingga menyebabkan seluruh negeri huru-hara," katanya. - Getaran, 17 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved