SEREMBAN - UMNO Negeri Sembilan telah menghantar permohonan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan keputusan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada Isnin.
Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, permohonan itu dibuat bagi memaklumkan secara rasmi pendirian parti itu berhubung perubahan sokongan politik melibatkan pentadbiran negeri.
"Kita sudah membuat permohonan untuk menghadap Tuanku (Tuanku Muhriz), untuk menyatakan tentang pemakluman penarikan sokongan kita kepada menteri besar dan saya belum lagi dititah dan bersedia pada bila-bila masa untuk menghadap Tuanku," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu berkata, kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah menetapkan beberapa ‘garis merah’ yang tidak boleh dilanggar, termasuk perkara melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R).
Beliau berkata, perkara yang berlaku sekarang ini adalah soal mempertahankan prinsip UMNO di mata rakyat berkaitan krisis yang terkait dengan undang dan institusi diraja.
Menurut Jalaluddin, isu seumpama itu pernah berlaku sebelum ini namun dapat diselesaikan secara tertutup tanpa menimbulkan polemik awam.
"Kami mahu memastikan kerajaan Negeri Sembilan diurus dengan baik dan berjalan lebih stabil dalam soal rakyat termasuk institusi adat. Sepatutnya krisis ini (kemelut undang) ditangani lebih awal bagi mengelakkan ia menjadi perdebatan terbuka di media sosial dan platform awam yang boleh mengundang pelbagai tafsiran.
"Apabila ia dibiarkan berlarutan, orang ramai mula membuat pelbagai tafsiran yang akhirnya boleh menjejaskan reputasi kerajaan negeri serta institusi adat diraja,” katanya.
Jalaluddin berkata, beliau meminta semua Exco BN memulangkan semua aset termasuk kenderaan dan barangan rasmi kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri selain mengosongkan pejabat sejak Isnin.
Pada Isnin, kesemua 14 ADUN UMNO - BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin susulan kemelut pemerintahan yang berlaku.
Namun, Aminuddin berkata beliau dititahkan oleh Tuanku Muhriz untuk meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri itu.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut menafikan dakwaan kemelut yang berlaku sebagai kerajaan 'tebuk atap' sebaliknya mempertahankan prinsip parti yang mengutamakan kepentingan undang dan institusi diraja.
Beliau berkata isu tebuk atap tidak timbul memandangkan BN adalah dalam kalangan kerajaan bersama PH bukan pembangkang.
"Ini saya nak tegaskan, kalau kita nak tebuk atap dah lama kita boleh tebuk sebaik selepas pilihan raya kerana jumlah (kerusi) yang ada kepada UMNO adalah 14 bersama dengan Perikatan Nasional (PN) ada lima, ini bila-bila masa kita boleh buat.
"Tiada sebab untuk kita untuk buat tindakan tebuk atap, kita dah ada dalam kerajaan. Saya Exco kanan dan ada lagi tiga Exco yang lain dan semuanya sudah ada dalam kerajaan, kenapa pula untuk kita tebuk atap? Orang yang nak tebuk atap ni daripada pembangkang nak masuk kerajaan. Itu tebuk atap," katanya.
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi, UMNO-BN menguasai 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) lima kerusi dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 pada 2023.
PH dan UMNO-BN membentuk kerajaan apabila menguasai 31 kerusi DUN selepas pilihan raya itu. - Bernama






