Krisis N9: Anwar Sudah Menghadap Yang di-Pertuan Besar, Aminuddin Kekal Jalankan Tugas MB

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 2:29 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Krisis N9: Anwar Sudah Menghadap Yang di-Pertuan Besar, Aminuddin Kekal Jalankan Tugas MB

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada malam tadi (27 April) bagi membincangkan perkembangan melibatkan institusi Raja dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Anwar menerusi satu kenyataan berkata, beliau ketika sesi menghadap turut menjunjung kasih atas kebijaksanaan Duli Tuanku dalam menangani perkara ini.

Anwar sokong titah Tuanku Muhriz agar Aminuddin terus jalankan tugas MB N9

“Dalam pertemuan tersebut, saya menyokong titah Duli Tuanku agar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, memelihara kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.”

Malah Anwar berkata, beliau optimis yang Aminuddin akan terus menjalankan tugas dengan sempurna berdasarkan pengalaman dan khidmat cemerlang beliau.

Persoalan libatkan institusi Undang sedang ditangani melalui saluran sah

Anwar turut menegaskan bahawa persoalan yang melibatkan institusi Undang sedang ditangani melalui saluran serta proses yang sah serta kebijaksanaan Undang.

“Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh untuk memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.”

Tambahnya, dalam apa jua keadaan, keluhuran institusi Raja dan undang-undang negeri mesti terus dipelihara serta dipertahankan.

“Saya juga menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban terutama dalam membicarakan ehwal institusi Raja dan undang-undang negeri.

“Kemenakan beraja ke mamak, mamak beraja ke muafakat, muafakat beraja kepada kebenaran, dan kebenaran itu berdiri sendiri.”

Dalam satu lagi perkembangan berbeza Anwar dijangka akan berjumpa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid pada hari ini bagi membincangkan isu berkenaan.

Namun beliau menegaskan setakat ini tidak timbul isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Terdahulu Anwar memaklumkan kemungkinan Negeri Sembilan tidak melakukan PRN ketika kemelut pemerintahan yang sedang berlaku ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) walau bagaimanapun menjelaskan ia bergantung keputusan Tuanku Muhriz dan juga persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Baca Artikel Berkaitan: