SHAH ALAM - Komuniti antarabangsa digesa bertindak secara kolektif bagi menangani krisis perumahan global yang semakin meruncing susulan cabaran geopolitik dan perubahan iklim.
Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat), Nga Kor Ming berkata, isu perumahan tidak boleh dilihat sekadar infrastruktur semata-mata, sebaliknya janji generasi masa depan yang perlu dipelihara menerusi kerjasama pelbagai hala lebih kukuh, iltizam politik dan daya tahan ekonomi.
“Sebagai Presiden UN-Habitat, Malaysia percaya tiada negara harus berdepan cabaran urbanisasi secara bersendirian.
"Dunia perlu menggandakan usaha untuk melaksanakan Agenda Bandar Baharu dan mempercepat pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya dalam satu hantaran Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyampaikan ucaptama pada Majlis Pembukaan Forum Bandar Sedunia Ke-13 (WUF13) di Baku, Azerbaijan baru-baru ini.
Forum berprestij anjuran UN-Habitat itu menghimpunkan pelbagai pihak termasuklah pembuat dasar, organisasi antarabangsa, perancang bandar, pemimpin masyarakat sivil dan rakan pembangunan dari seluruh dunia bagi membincangkan masa depan urbanisasi mampan.
Dalam ucapan tersebut, Kor Ming memberitahu, hampir 2.8 bilion penduduk dunia kini berdepan isu ketidakjaminan perumahan, manakala lebih dua bilion penduduk bandar dijangka menghadapi risiko berkaitan iklim menjelang 2040.
Menurut beliau, situasi itu menjadikan pembangunan bandar yang inklusif, selamat dan berdaya tahan semakin mendesak.
Kor Ming turut mengetengahkan kerangka Malaysia Madani sebagai panduan negara dalam melaksanakan Agenda Bandar Baharu.
Kongsi beliau, Malaysia telah berjaya menyediakan lebih 1.1 juta rumah mampu milik selain merekodkan kadar pemilikan rumah sebanyak 77 peratus.
Menurutnya, Malaysia turut melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian termasuk penanaman lebih 115 juta pokok serta memperluaskan pelaksanaan 'Voluntary Local Reviews' dalam kalangan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.
Beliau turut menyeru pemimpin dunia mengutamakan pendekatan 'Human-Centred Urbanism' dengan dengan memastikan dasar perancangan bandar tidak hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal dan infrastruktur semata-mata.
Katanya, pendekatan diambil pemimpin dunia seharusnya juga mengambil kira kehidupan, maruah serta aspirasi komuniti khususnya golongan rentan di penempatan tidak formal dan kawasan berisiko iklim.
Kor Ming turut menggesa semua negara peserta menyumbang secara bermakna terhadap 'WUF13 Call to Action' sebagai dokumen legasi global bagi transformasi bandar mampan.






