Tindakan merobohkan Kuil Sri Veeramakaliamman pada 20 Ogos lalu mencetuskan persoalan apabila jawatankuasa rumah ibadat itu mendakwa mereka sebelum ini menerima jaminan daripada kerajaan Perlis bahawa tiada tindakan akan diambil sehingga penghujung tahun.

Foto: Free Malaysia Today
Memetik laporan Free Malaysia Today, menurut jawatankuasa kuil, mereka tidak pernah membantah sekiranya pemindahan perlu dilakukan, namun mahu rundingan dengan kerajaan negeri diteruskan terlebih dahulu bagi mendapatkan lokasi baharu yang bersesuaian.
Pengerusinya, P Sathesh Kumar berkata, beberapa pertemuan telah diadakan bersama Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, dan pihaknya dimaklumkan bahawa perbincangan berkaitan masa depan kuil akan diteruskan.
Katanya, dalam sesi dialog pada 14 Julai lalu, Abu Bakar turut memberi jaminan bahawa sebarang tindakan terhadap kuil berkenaan tidak akan dilakukan sehingga 31 Disember, ketika usaha mencari penyelesaian masih berlangsung.
“Kami ingat rundingan lanjut akan diteruskan dan kami akan dipanggil hadiri mesyuarat untuk cari jalan penyelesaian,” katanya, baru-baru ini.
Jawatankuasa kuil turut mengemukakan rakaman video sesi dialog berkenaan yang didakwa menunjukkan Abu Bakar memberikan jaminan tersebut.
Namun, situasi berubah pada awal pagi 20 Ogos apabila anggota penguat kuasa bersama jentera berat hadir di kawasan kuil sebelum struktur berkenaan dirobohkan.
Sathesh berkata, tindakan itu mengejutkan pihaknya kerana mereka beranggapan proses rundingan dengan kerajaan negeri masih belum berakhir.
Lebih mengejutkan, menurut beliau, ketika pihak jawatankuasa menghubungi Abu Bakar semasa operasi perobohan berlangsung, Menteri Besar itu dikatakan memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai tindakan penguatkuasaan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, jawatankuasa kuil mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil terhadap kerajaan Perlis, Pejabat Tanah Kangar serta Majlis Perbandaran Kangar.
Sathesh berkata, saman tersebut difailkan pada 19 Ogos, sehari sebelum kuil itu dirobohkan. Bagaimanapun, pihaknya tidak sempat mendapatkan perintah mahkamah untuk menghentikan operasi berkenaan sebelum anggota penguat kuasa tiba di lokasi.
Beliau turut menegaskan bahawa kuil berkenaan bukan bangunan yang ditinggalkan atau tidak digunakan, sebaliknya menjadi tempat ibadat komuniti Hindu setempat sejak bertahun-tahun lalu dengan upacara sembahyang dijalankan setiap hari.
Artikel lain: Isu roboh kuil: Kita tak halang jika pembinaan patuhi syarat – MB Perlis
Menurut Sathesh, jawatankuasa kuil telah berunding dengan pihak berkuasa Perlis berkaitan status rumah ibadat itu selama beberapa dekad. Malah, katanya, mereka sebelum ini pernah memperoleh kelulusan bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan di kuil berkenaan.
Sementara itu, kerajaan negeri sebelum ini dilaporkan menjelaskan bahawa kuil tersebut dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran. Tindakan penguatkuasaan dikatakan dibuat selepas notis dikeluarkan serta beberapa sesi perbincangan yang telah berlangsung selama bertahun-tahun bersama jawatankuasa kuil.
Sumber: Free Malaysia Today (Predeep Nambiar)






