
MotoGP hari ini mengumumkan bahawa kejohanan FIM MotoE World Championship akan digantung atau dihentikan seketika bermula hujung musim ini selepas tujuh tahun dianjurkan. Keputusan ini dibuat selepas kategori tersebut gagal mendapat sambutan yang mencukupi daripada peminat serta pasaran motosikal elektrik berprestasi tinggi yang tidak berkembang seperti dijangkakan.
Dalam tempoh sama, industri motosikal semakin memberi tumpuan kepada pembangunan enjin pembakaran dalaman yang lebih efisien bersama penggunaan bahan api bukan fosil. Bermula 2024, bahan api MotoGP wajib mengandungi sekurang-kurangnya 40% bukan fosil, dan sasaran 100% akan dicapai pada tahun 2027.
Presiden FIM, Jorge Viegas berkata:
“Hari ini kami mengumumkan penggantungan Kejohanan Dunia FIM MotoE bermula akhir musim ini. Walaupun usaha terbaik telah dilakukan bersama Dorna, hakikatnya kami tidak mencapai objektif yang disasarkan, begitu juga industri motosikal elektrik berprestasi tinggi. Perlumbaan yang dipersembahkan memang hebat, dan saya ingin berterima kasih kepada semua pelumba, pasukan dan Dorna.”
Sementara itu, CEO Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta menambah:
“MotoE telah memberi aksi di trek yang luar biasa dan memainkan peranan penting dalam misi MotoGP untuk berinovasi. Namun, kami juga perlu berani mendengar suara peminat serta memerhati perkembangan pasaran. Bersama FIM, kami membuat keputusan bahawa inilah masa yang tepat untuk meletakkan MotoE dalam keadaan rehat.”
MotoGP dan FIM menegaskan mereka akan terus memantau arah industri dan tidak menolak kemungkinan untuk menghidupkan kembali MotoE atau teknologi lestari lain sekiranya relevan pada masa depan.
The post Kurang sambutan, MotoE dihentikan seketika appeared first on TW Media.




