
SERDANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mempercepatkan penyaluran tambahan RM1 bilion dana mikrokredit kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memastikan kemudahan pembiayaan itu segera dimanfaatkan.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha itu akan diberi keutamaan bagi memastikan sumber kewangan yang telah diumumkan kerajaan dapat disalurkan kepada kumpulan sasaran dalam tempoh sewajarnya.
Beliau berkata, tambahan RM1 bilion itu menjadikan keseluruhan dana mikrokredit yang disediakan tahun ini meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
“Sebab mikrokredit ini bukan sahaja memberikan sokongan kewangan, tetapi agensi-agensi mikrokredit selalunya lebih mesra kepada peniaga mikro dan kecil dari segi syarat, memudah cara proses dan sebagainya.
“Kita akan berusaha untuk mempercepatkan proses supaya wang atau sumber yang telah dijanjikan itu dapat disalurkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Laman HPMKUSKOP@MAHA 2026 pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di sini hari ini.
Semalam, kerajaan mengumumkan tambahan RM1 bilion kemudahan pembiayaan mikro kepada peniaga kecil, menjadikan keseluruhan dana berkenaan bagi 2026 meningkat kepada RM6 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan berkenaan bertujuan membantu golongan perniagaan kecil yang berdepan tekanan kos, selain memberi sokongan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
Mengulas lanjut, Steven berkata, tambahan RM1 bilion itu akan disalurkan melalui tiga agensi di bawah KUSKOP iaitu Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional.
Katanya, kementerian akan memastikan proses penyaluran dilaksanakan dengan sebaik mungkin supaya dana berkenaan dapat dimanfaatkan segera oleh kumpulan sasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, Steven berkata, pengumuman geran RM200 juta bagi pembelian peralatan serta dana RM200 juta untuk pembelian barangan perniagaan turut memberi manfaat kepada peniaga kecil dan penjaja.
Katanya, penambahan kuota RON95 dan diesel yang diumumkan kerajaan juga dijangka memberi kelegaan kepada peniaga yang kerap menggunakan kenderaan dalam menjalankan operasi perniagaan.
“Jadi saya rasa ini adalah satu berita ataupun hadiah Merdeka yang cukup baik untuk rakyat Malaysia, khususnya sektor PMKS negara,” katanya.
Sementara itu, Steven berkata, peningkatan nilai ambang e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta turut memberi manfaat kepada sektor PMKS.
Katanya, berdasarkan data Kementerian Kewangan (MOF), peningkatan nilai ambang itu dijangka membantu lebih satu juta syarikat dalam kategori PMKS.
“Sudah tentu ini khususnya untuk perniagaan mikro, kecil dan sederhana, ia cukup penting sebab ini akan membantu.
“Saya tengok data yang diberikan oleh MOF, ia membantu lebih satu juta syarikat dalam kategori PMKS ini. Sudah tentu ini berita yang cukup memberangsangkan untuk sektor PMKS kita,” katanya. – UTUSAN
The post KUSKOP percepat salur tambahan RM1 bilion dana mikro kredit appeared first on Utusan Malaysia.






