Mangsa scam disahkan tidak bersalah perlu diberi semula akses penuh akaun bank dengan segera - Parlimen diberitahu

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 10:12 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mangsa scam disahkan tidak bersalah perlu diberi semula akses penuh akaun bank dengan segera - Parlimen diberitahu Image from: Mangsa scam disahkan tidak bersalah perlu diberi semula akses penuh akaun bank dengan segera - Parlimen diberitahu sarah23/10/2026 - 10:12 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt - Mangsa penipuan kewangan yang akaun banknya disekat akibat penyalahgunaan identiti perlu diberikan semula akses penuh kepada perkhidmatan kewangan dengan segera selepas disahkan tidak terlibat dalam aktiviti penipuan atau tidak lagi dianggap berisiko.

 

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan keperluan itu bagi memastikan mangsa penipuan tidak terus terjejas dalam menjalankan urusan kewangan harian, termasuk menerima bantuan sara hidup dan bayaran bulanan kerajaan.

 

Menurut kementerian itu, BNM telah mengeluarkan Dokumen Dasar Tindak Balas Institusi Kewangan Terhadap Penipuan (Financial Institutions’ Response to Fraud) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2026 bagi memperkukuh dan menyeragamkan tindakan bank dalam mengendalikan kes penipuan kewangan.

 

"Institusi kewangan dikehendaki menjalankan penilaian dalaman yang menyeluruh sebelum membuat keputusan terhadap pemilik akaun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan, termasuk menentukan sama ada individu berkenaan merupakan pelaku jenayah, mangsa eksploitasi atau mangsa penyalahgunaan identiti," menurut kementerian itu.

 

Mangsa boleh dipertimbangkan untuk akses akaun terhad

MOF berkata, institusi kewangan juga dikehendaki mengambil pendekatan adil dan munasabah terhadap pelanggan yang akaunnya disyaki digunakan sebagai akaun keldai, termasuk mempertimbangkan penyediaan akaun terhad (restricted account) tertakluk kepada penilaian risiko.

 

Kemudahan itu membolehkan pelanggan yang terjejas terus mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan asas, termasuk menerima bantuan sara hidup dan insentif bulanan kerajaan, meskipun akaun mereka masih tertakluk kepada sekatan tertentu.

 

Kementerian itu menjelaskan bahawa dasar berkenaan turut disokong oleh Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaporan dan Pengendalian Akaun Keldai yang dikeluarkan industri kewangan bagi memastikan pengendalian kes dilaksanakan secara konsisten.

 

SOP tersebut turut menggariskan proses mengeluarkan individu daripada senarai akaun keldai yang dipantau, termasuk melalui pengemukaan surat pengesahan polis atau penilaian institusi kewangan bahawa risiko akaun berkenaan telah berkurang selepas tempoh pemantauan.

 

Tiada tempoh tetap bagi pemulihan akaun

Bagaimanapun, MOF menjelaskan bahawa tempoh pemulihan akaun bergantung kepada fakta kes, kerumitan siasatan dan maklumat yang diperlukan untuk tujuan pengesahan, selain tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan di bawah Kanun Tatacara Jenayah serta undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.

 

Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Wan Razali Wan Nor (Kuantan) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme memastikan mangsa penipuan yang akaunnya disekat tidak kehilangan akses kepada bantuan kerajaan, selain tempoh pemulihan akaun bagi individu yang disahkan tidak terlibat dalam jenayah.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved