
PETALING JAYA: Sayap pemuda DAP menggesa kerajaan menyemak semula larangan aplikasi navigasi, Waze terhadap penjawat awam kerana dibimbangi bakal menjejaskan kepercayaan rakyat.
DAPSY berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perlu menyemak semula keputusan tersebut serta mengguna pakai pendekatan yang lebih pragmatik dan telus dalam menangani kebimbangan keselamatan siber.
Menurut sayap DAP itu, Waze digunakan secara meluas oleh rakyat Malaysia selama bertahun-tahun sebagai alat navigasi harian.
“Sehingga kini, orang awam tidak dibentangkan dengan bukti yang mencukupi bagi membuktikan bahawa Waze telah mengkompromikan keselamatan negara Malaysia atau menyalahgunakan data pengguna.
“Walaupun DAPSY mengiktiraf kepentingan memperkukuh keselamatan siber, kami mempersoalkan rasional dan justifikasi pegawai-pegawai yang mencadangkan larangan secara menyeluruh ini.
“Daripada menenangkan orang awam, keputusan drastik sebegini berisiko menimbulkan lebih banyak persoalan dan menghakis kepercayaan awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
DAPSY berkata, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan langkah perlindungan yang lebih bersasar untuk pegawai yang mengendalikan maklumat sulit dan tugas sensitif seperti anggota tentera, pegawai perisikan dan pegawai kanan keselamatan
Katanya, ia akan membolehkan kerajaan menangani risiko sebenar tanpa mengenakan sekatan yang luas secara tidak perlu.
“Tambahan pula, syor kerajaan untuk menggantikan Waze dengan aplikasi tempatan TuJu telah menyebabkan kekeliruan dan ketidakpuasan hati yang tidak sepatutnya dalam kalangan orang awam.
“Ramai pengguna telah mencuba TuJu dan mengetengahkan kelemahan teknikal, sekali gus membuktikan bahawa aplikasi tersebut sukar untuk menjadi alternatif yang boleh diharap dan praktikal,” katanya.
DAPSY berkata, mengharamkan aplikasi yang sudah kukuh demi mementingkan alternatif yang mempunyai masalah teknikal ketara berisiko memburukkan lagi hakisan kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan.
“Justeru, DAPSY menggesa kerajaan untuk mendengar dan menghormati maklum balas awam, bukannya melaksanakan larangan menyeluruh tanpa menangani kebimbangan dan keperluan praktikal penggunanya secara mencukupi.
“Masih belum terlambat untuk kerajaan mengelakkan isu ini daripada menjadi satu perkara yang memalukan,” katanya. – UTUSAN
The post Pemuda DAP gesa kerajaan semak semula larangan Waze terhadap penjawat awam appeared first on Utusan Malaysia.





