liza06/11/2026 - 17:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – UPA Corporation Berhad merancang mempelbagaikan aktiviti perniagaannya dengan menceburi sektor pembangunan dan pelaburan hartanah ketika segmen produk plastik yang menjadi penyumbang terbesar hasil kumpulan, mencatatkan kerugian selepas cukai sepanjang tiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata prestasi segmen itu terjejas antaranya akibat persaingan semakin sengit serta turun naik kadar pertukaran mata wang asing, khususnya dolar Amerika Syarikat yang memberi tekanan kepada margin keuntungan dan meningkatkan kos operasi.
Sementara itu, keuntungan selepas cukai segmen produk berasaskan kertas merosot daripada RM10.36 juta pada tahun kewangan 2023 kepada RM2.47 juta pada 2025.
Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026, segmen produk berasaskan kertas turut mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM2.36 juta, manakala segmen produk plastik merekodkan keuntungan selepas cukai RM1.24 juta dalam tempoh sama.
UPA berkata, kumpulan akan terus melaksanakan inisiatif kawalan kos dan meningkatkan produktiviti bagi memperbaiki prestasi segmen perniagaan sedia ada, selain meneroka sumber pendapatan alternatif menerusi sektor pembangunan hartanah.
Projek pembangunan pertama kumpulan
"Kumpulan sedang melaksanakan projek pembangunan 13 unit kilang berkembar tiga tingkat di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seksyen 9, Seri Kembangan, Selangor, yang merupakan projek pembangunan hartanah pertama UPA. Projek di atas tanah seluas kira-kira 3.03 ekar itu membabitkan pembinaan kilang dengan ruang mezzanine bagi setiap unit.
"Projek berkenaan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM94.1 juta, manakala kos pembangunan kasar (GDC) berjumlah RM68.32 juta, sekali gus memberikan anggaran keuntungan pembangunan kasar sebanyak RM25.78 juta," katanya.
Projek berkenaan merupakan usaha pertama UPA dalam sektor pembangunan hartanah, dengan tanah terbabit pada asalnya diperoleh kumpulan itu pada 1994 untuk tujuan pelaburan.
Tanah asal berkenaan kemudiannya dipecahkan kepada 15 lot tanah industri pada 2016, termasuk satu lot yang diperuntukkan untuk pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan satu lagi bagi kegunaan sendiri kumpulan. Sehubungan itu, hanya 13 lot digunakan untuk pembangunan kilang berkenaan.
Projek itu dimulakan pada 21 Mac 2025 dan mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 67% setakat 23 September 2026 dengan tarikh siap dijangka pada suku kedua 2027. UPA memaklumkan pembangunan berkenaan akan dibiayai sepenuhnya menerusi dana yang dijana secara dalaman kumpulan.
Rancang teroka projek hartanah lain
Selepas projek pembangunan pertama itu disiapkan, UPA bercadang meneroka projek pembangunan hartanah lain dengan memanfaatkan pengalaman yang diperoleh daripada pelaksanaan projek berkenaan.
Kumpulan turut melantik KGV International Property Consultants (M) Sdn Bhd untuk menjalankan kajian pasaran dan penilaian projek bagi meneliti kebolehpasaran serta daya maju pembangunan 13 unit kilang tersebut.
Berdasarkan laporan kajian pasaran bertarikh 26 Oktober 2026, KGV berpandangan projek berkenaan berdaya maju dari segi kewangan berdasarkan anggaran harga jualan dan kos pembangunan yang ditetapkan.
UPA menjangkakan projek pembangunan itu dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan, sekali gus meningkatkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
Bagaimanapun, cadangan mempelbagaikan perniagaan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham UPA menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan. Cadangan berkenaan dijangka diselesaikan menjelang suku pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan berkaitan.- DagangNews.com






