
RANTAU PANJANG – Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dan Indonesia termasuk dua wanita dicekup di beberapa buah kabin yang dijadikan tempat penginapan pekerja di lombong bijih besi di Kampung Gual Dalam, Lubok Setol, di sini, hari ini.
Kesemua PATI berusia dalam lingkungan 25 hingga 53 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 pagi selepas dipercayai menyalahgunakan permit kerja, tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah, pasport tamat tempoh dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota bertugas menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa kabin yang dijadikan tempat penginapan pekerja.
Katanya, siasatan mendapati, beberapa orang lelaki dan perempuan warga asing berada di dalam kabin berkenaan.
“Tangkapan itu melibatkan seramai 16 lelaki warga Bangladesh dan 14 warga Indonesia termasuk dua wanita.
“Pemeriksaan mendapati terdapat warga asing yang disyaki menyalahgunakan permit kerja, tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah atau menggunakan dokumen yang mencurigakan dan telah tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, serbuan di lombong bijih besi itu selepas menerima 10 laporan berhubung keberadaan warga asing di kawasan tersebut.
Menurutnya, kesemua PATI dibawa ke Balai Polis Daerah Pasir Mas, di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE
The post 30 PATI dicekup tinggal di kawasan lombong bijih besi appeared first on Kosmo Online.






