
KENINGAU: Hujan lebat berterusan sejak petang hingga malam Ahad mengakibatkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat.
Pegawai Daerah Keningau, Peter Jonu Moinjil, berkata antara kawasan terjejas di Bingkor ialah Pekan Bingkor, Kampung Bandukan Baru, Kampung Teterikon, Kampung Binaong, Kampung Awas-Awas, Kampung Labak Baru, The Church of God, Hospital Keningau, Kampung Tuntumulud, Kampung Tudan Baru, Kampung Jaya Baru, Kampung Tigot, Kampung Kota Ayangan, Sekolah Rendah Islam Tahfiz Keningau, Taman Sri Keningau, Kampung Toboh Laut, Kampung Sondoton, One Plaza Keningau dan Kampung Liau Laut.
Di Liawan pula, kawasan terjejas termasuk Kampung Rancangan Pamalan, Jalan Bariawa (SMK Gunsanad), Tamu Ground, Kampung Kauran dan Kampung Beribi.
Di Tulid, tiga kampung terjejas iaitu Kampung Penagatan Ulu, Kampung Merapok dan Kampung Ambual, manakala di Sook melibatkan Kampung Ansip.
Menurut beliau, banjir kilat yang bermula sekitar 8 malam Ahad itu, surut sepenuhnya pada awal pagi Isnin.
“Namun demikian, banjir kilat kali ini meninggalkan kerosakan pada infrastruktur, kemudahan asas, rumah serta harta benda penduduk,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Status paras air Sungai Pegalan dilaporkan normal manakala Sungai Sook berada pada paras amaran setakat petang Isnin.
Banjir kilat dipercayai berpunca daripada hujan lebat di kawasan sekitar dan hulu sungai sehingga paras air melepasi tahap bahaya, selain sistem saliran tersumbat menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar ke sungai dan parit.



