
KEMAMAN – Sepasang suami isteri cemas selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Ativa yang dinaiki merempuh seekor gajah liar yang melintas di Kilometer (KM) 160, Jalan Jerangau Jabor berhampiran Kampung Sungai Pergam, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.51 malam itu, Amirul Afiq Aazmi, 31, dan isterinya, Farhain Jolius, 23, hanya mengalami kecederaan ringan.
Seorang lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta Perodua Myvi di belakang turut cedera ringan apabila gagal mengelak dan merempuh SUV tersebut.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, ketika kejadian, pasangan itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Pasir Puteh, Kelantan dari Kuantan, Pahang.
“Sebaik tiba di lokasi itu, Perodua Ativa yang dinaiki mereka tidak sempat mengelak gajah yang dikatakan melintas secara tiba-tiba.
“SUV itu kemudian dirempuh kereta Perodua Myvi yang berada di belakang,” katanya di sini hari ini.
Ia merupakan kejadian kedua melibatkan pengguna jalan raya di daerah ini yang cedera kerana merempuh gajah liar dalam tempoh sebulan.
Pada 5 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan sepasang suami isteri cedera ringan selepas kereta dinaiki merempuh kawanan gajah liar di KM274.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh, di sini. – KOSMO! ONLINE
The post Lagi kes kereta rempuh gajah liar di Kemaman appeared first on Kosmo Online.






