KEMAMAN - Pasangan suami isteri berdepan detik cemas selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh seekor gajah liar di Kilometer 160 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Kampung Sungai Pergam, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.51 malam itu, pemandu, Amirul Afiq Aazmi, 31, yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor mengalami luka pada bahagian dada manakala isterinya, Farhain Jolius, 23, mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan dada.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, ketika kejadian, pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Pasir Puteh, Kelantan selepas bercuti di Kuantan, Pahang.
**media[3647926]**
"Siasatan awal mendapati semasa kedua-dua mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Ativa menghala ke arah Kuala Terengganu, secara tiba-tiba seekor gajah berada di atas jalan dipercayai sedang melintas dari arah kanan ke kiri jalan.
"Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu tidak sempat menekan brek lalu merempuh gajah tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Mohd Razi berkata, kereta mangsa kemudiannya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun.
"Kesan pelanggaran itu menyebabkan pemandu Perodua Myvi turut mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki. Kesemua mangsa yang terjejas telah dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut," jelasnya.
Sementara itu, Amirul Afiq ketika ditemui di Hospital Kemaman memberitahu, keadaan jalan yang gelap mengehadkan jarak penglihatannya sehingga tidak sempat mengelak haiwan berkenaan.
**media[3647927]**
"Saya secara tiba-tiba ternampak seekor gajah melintas jalan kira-kira 10 meter di hadapan. Disebabkan keadaan laluan yang gelap, saya memang tak sempat tekan brek.
"Mujurlah saya dan isteri masih terselamat walaupun kereta remuk merempuh gajah sebelum dirempuh pula oleh kereta lain dari arah belakang," katanya.
Sebelum ini pada 5 Ogos lalu, insiden hampir serupa pernah dilaporkan berlaku melibatkan sepasang suami isteri yang cedera ringan akibat merempuh sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh.






