
Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merobohkan 13 rumah setinggan haram di belakang Alamesra, Likas, pada 19 Jun lalu (gambar) menjadikan jumlah keseluruhan struktur yang dirobohkan di kawasan itu meningkat kepada 38 buah.
DBKK berkata operasi bersepadu yang dijalankan dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu bertujuan menangani pencerobohan tanah, pembinaan haram dan pertumbuhan penempatan setinggan yang tidak terkawal di atas tanah kerajaan.
“Tindakan ini bukan sekadar operasi perobohan tetapi merupakan langkah strategik untuk memastikan tanah kerajaan tidak terus dicerobohi, memelihara kawasan rizab alam sekitar serta mengurangkan risiko kebakaran dan jenayah,” menurut DBKK seperti dipetik oleh Info X.
“Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang membina, menduduki atau melindungi struktur haram di atas tanah kerajaan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.”DBKK mengenal pasti koloni setinggan di belakang Alamesra sebagai antara lokasi pencerobohan yang berkembang tanpa kawalan di kawasan rizab hutan paya bakau dan tebing sungai.
Banci yang dijalankan mendapati terdapat 101 rumah dibina di kawasan penempatan semula mangsa kebakaran di Kampung Cenderamata 2, Likas, manakala 150 struktur setinggan dikenal pasti di kawasan paya bakau di belakang Alamesra, dengan majoritinya didiami bukan warganegara.
Menurut DBKK, keadaan terbabit menimbulkan risiko terhadap keselamatan awam, kesihatan awam, alam sekitar serta ekosistem paya bakau yang disifatkan sebagai aset semula jadi penting bagi bandar raya ini.
Notis pengosongan, pemindahan dan perobohan telah diserahkan kepada penghuni terlibat pada 13 April lalu dengan tempoh pematuhan selama 14 hari sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd dan Jabatan Tanah dan Ukur.
DBKK berkata sebanyak 112 lagi struktur setinggan telah dikenal pasti untuk tindakan penguatkuasaan seterusnya.






