
Kota Kinabalu: Penduduk dan pemilik unit di 1Borneo menggesa pihak berkuasa mempercepatkan proses pengeluaran geran hartanah mereka selepas pemilik tanah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) menolak bidaan pemaju untuk mengambil alih proses pendaftaran geran subsidiari dan memutuskan untuk menguruskannya sendiri.
Gesaan itu dibuat selepas Usia sebulat suara memutuskan dalam mesyuarat pada 21 Januari lalu bahawa semua urusan penyediaan draf pendaftaran geran subsidiari dan Memorandum Pindah Milik bagi unit-unit di 1Borneo akan diuruskan sendiri oleh pertubuhan itu sekali gus menolak cadangan pelikuidasi syarikat pemaju supaya draf geran terbabit dipulangkan kepada syarikat.
Pemilik-pemilik unit yang hadir dalam mesyuarat itu menegaskan mereka mahu isu berkenaan diselesaikan tanpa sebarang kelewatan lagi. Mereka memaklumkan bahawa penyerahan rasmi draf geran subsidiari daripada Jabatan Tanah dan Ukur kepada Usia telah pun dilakukan pada November tahun lalu dengan disaksikan oleh Ketua Menteri namun proses pengeluaran geran individu kepada pemilik masih belum dimulakan.
Usia turut memutuskan bahawa pelikuidasi syarikat pemaju mesti mengemukakan senarai lengkap pemegang geran subsidiari 1Borneo kepada Setiausaha Agung Usia dalam tempoh lima hari bekerja.
Sebelum ini, pihak pemaju berpendirian bahawa berdasarkan Perjanjian Jual Beli (SPA), mereka merupakan pihak yang bertanggungjawab menguruskan proses pengeluaran hak milik tersebut.
Namun, Usia selaku pemilik tanah menolak pendirian itu dan mengambil keputusan untuk mengendalikan sendiri proses berkenaan bagi pihak pemilik unit.
Mesyuarat yang diadakan di Dewan Ilmu, Menara Usia, 1Borneo itu dihadiri hampir 50 pemegang taruh termasuk pemilik unit, wakil guaman dan pihak pengurusan hotel.
Bagaimanapun, pelikuidasi syarikat pemaju tidak hadir dan telah mengemukakan permohonan maaf atas ketidakhadiran mereka.






