
SELEPAS kejayaan lagu raya berjudul Inilah Raya, Astro Audio mengambil langkah proaktif dengan melancarkan inisiatif khas menerusi platform KITA FM serta peluncuran karya istimewa, Lagu KITA.
Lagu KITA adalah sebuah karya istimewa yang mengangkat mesej kebersamaan, keharmonian dan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia.
Karya tersebut menggambarkan keindahan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara dan menjadi medium untuk menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang melalui bahasa muzik yang bersifat universal.
Mengulas mengenai penganjuran kempen berkenaan, Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, menegaskan bahawa inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam membina jambatan perpaduan menerusi kuasa audio dan hiburan.
“KITA FM dan Lagu KITA merupakan satu platform yang meraikan segala yang menjadikan Malaysia begitu istimewa.
“Dalam dunia yang semakin pantas berubah, kita percaya bahawa muzik, hiburan dan pengalaman bersama mempunyai kuasa untuk menyatukan masyarakat merentasi latar belakang, budaya dan bahasa.
“Melalui inisiatif ini, kami ingin membawa rakyat Malaysia lebih dekat antara satu sama lain sambil menyemarakkan semangat cintakan negara,” katanya.
Dia turut berharap pelancaran Lagu KITA dapat mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat Malaysia.
“Kami amat berterima kasih kepada semua rakan penaja yang bersama-sama menjayakan inisiatif ini.
“Sokongan mereka membolehkan kami membawakan pengalaman yang lebih bermakna dan inklusif kepada rakyat Malaysia.
“Kami berharap KITA FM dan Lagu KITA akan menjadi platform yang menghubungkan rakyat, mencipta kenangan bersama dan mengingatkan kita bahawa walau berbeza latar belakang, kita tetap satu negara, satu keluarga dan satu Malaysia,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, Astro Audio membawa rakyat Malaysia bersama-sama meraikan identiti, suara dan cerita yang akan berlangsung di seluruh negara selama 17 hari bermula dari 31 Ogos hingga 16 September depan.
Sepanjang tempoh kempen, KITA FM akan menjelajah ke pelbagai lokasi di seluruh negara dengan membawakan pelbagai aktiviti menarik yang menampilkan keunikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya.
The post ‘Lagu KITA semarakkan semangat cintakan negara rakyat Malaysia’ appeared first on Kosmo Digital.






