
SEMANGAT patriotik kini tidak lagi hanya dizahirkan melalui kibaran Jalur Gemilang, nyanyian lagu kebangsaan atau sambutan Hari Kebangsaan. Rasa cintakan negara turut terpancar melalui skrin telefon pintar, ruangan komen dan setiap kandungan yang kita hasilkan serta kongsikan.
Kelebihan ini membuka ruang besar untuk media sosial menjadi wadah menyuburkan semangat perpaduan dan patriotisme.
Apabila bercakap tentang kandungan patriotik, kita lazimnya tertumpu kepada video sambutan Hari Kebangsaan, Jalur Gemilang, lagu patriotik atau ucapan kemerdekaan.
Namun realitinya, kandungan berunsur patriotisme boleh hadir dalam manifestasi yang jauh lebih luas.
Sebagai contoh, rakaman video mengenai keunikan makanan masyarakat pelbagai kaum, kisah persahabatan merentas budaya, penggunaan bahasa yang menghormati etnik lain, perkongsian sejarah tempatan, mahupun paparan kehidupan seharian rakyat Malaysia sebenarnya mampu membawa mesej kebersamaan yang mendalam.
Malah, kandungan yang memaparkan sikap saling membantu ketika bencana, menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan, atau meraikan kejayaan anak bangsa tanpa mengira latar belakang turut sarat dengan nilai patriotisme.
Mencintai negara bukan sekadar tentang simbol luaran, tetapi tentang bagaimana kita menghormati dan menghargai masyarakat yang hidup bersama-sama di dalamnya.
Media sosial memberikan peluang keemasan untuk kisah-kisah kecil yang bermakna ini diketengahkan. Jika dimanfaatkan secara positif, satu video berdurasi kurang seminit juga mampu mempamerkan imej Malaysia yang harmoni kepada jutaan pengguna global.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, agensi kerajaan, institusi pendidikan, dan sektor korporat mula memanfaatkan pertandingan video pendek sebagai medium interaktif untuk menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan.
Langkah tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada generasi muda untuk mengekspresikan patriotisme dalam laras bahasa dan medium yang dekat dengan jiwa mereka, malah menjadikan golongan ini sebahagian daripada pencipta naratif masa depan Malaysia.
Jangan Jadikan Perbezaan Sebagai Modal Kandungan
Kita perlu meletakkan sempadan etika yang tegas agar kepelbagaian rencam masyarakat Malaysia tidak diumpan sebagai bahan hiburan atau provokasi murahan. Keunikan Malaysia terletak pada keupayaan masyarakatnya untuk hidup harmoni dalam kepelbagaian.
Media sosial sewajarnya berfungsi sebagai jambatan untuk saling mengenali dan menghormati perbezaan tersebut, bukannya medan memperbesar jurang pertelingkahan.
Naratif digital kita perlu diisi dengan lebih banyak kandungan yang mengangkat nilai kebersamaan, empati, serta kisah kejayaan kolektif rakyat Malaysia.
Tanggungjawab di alam maya mencerminkan bagaimana kita menterjemahkan jati diri sebagai warganegara digital. Kita bukan sekadar pengguna akaun digital, tetapi merupakan duta yang membawa imej negara di ruang siber.
Setiap ulasan membawa nada emosi tertentu dan setiap video yang diterbitkan berupaya mencorakkan pandangan luar terhadap Malaysia.
Patriotisme digital tidak memerlukan kita menzahirkan kandungan yang sarat dengan slogan retorik.
Sering kali, rasa cinta akan tanah air hadir dalam tindakan yang paling luhur dan sederhana iaitu dengan tidak menyebarkan kebencian, membetulkan naratif yang salah, menghormati simbol negara, serta memilih laras bahasa yang saling memuliakan.
Era pendemokrasian maklumat ini memberikan kita pilihan mutlak: Sama ada mahu menggunakan hujung jari untuk membina jambatan perpaduan atau meruntuhkannya.
Sebelum menekan butang “siar”, tanyakan pada diri sendiri: Adakah kandungan yang kita cipta ini membantu membina Malaysia yang kita impikan? – UTUSAN
DR. SITI NASARAH ISMAIL
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan
The post Zahir patriotisme di media sosial appeared first on Utusan Malaysia.

![[VIDEO] Terbang, panjat, berlari demi sebuah kerusi](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/HARI-KEBANGSAAN-1024x634.jpeg)



