
KUALA LUMPUR: Selepas kembali mewarnai persada muzik tanah air, penyanyi rock berpengalaman T-REX terus mengorak langkah apabila tampil dengan sebuah karya istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan berjudul Jiwa Merdeka.
Lebih bermakna, karya terbaharu itu merupakan lagu bertemakan Hari Kebangsaan pertama yang dibawakan oleh T-REX sepanjang perjalanan seninya.
Membawa mesej kecintaan terhadap tanah air, perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia, Jiwa Merdeka hadir dengan suntikan muzik rock yang menjadi identiti dan kekuatan penyanyi tersebut sejak sekian lama.
Dengan pendekatan yang ringkas, ceria dan mudah dihayati, lagu itu dihasilkan sebagai sebuah karya patriotik yang boleh dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut T-REX, Jiwa Merdeka bukan sekadar sebuah lagu sempena sambutan Hari Kebangsaan, sebaliknya menjadi medium untuk beliau menyuarakan rasa cinta dan bangga terhadap Malaysia.
“Ini merupakan lagu Hari Kebangsaan pertama saya. Bagi saya, Merdeka bukan sekadar satu sambutan yang diraikan setiap tahun, tetapi sesuatu yang cukup dekat di hati kita sebagai rakyat Malaysia.
“Melalui Jiwa Merdeka, saya mahu menyampaikan semangat kebersamaan dan mengajak semua untuk sama-sama meraikan Hari Kebangsaan dengan penuh rasa bangga dan gembira,” katanya.
Menariknya, lagu berkenaan turut mengetengahkan mesej perpaduan menerusi ungkapan ‘Satu Suara. Satu Jiwa. Satu Malaysia.’
Selain itu, rangkap seperti ‘Bulan lapan, tiga puluh satu’ turut membawa pendengar menyelami semangat sambutan Hari Kebangsaan serta menghayati erti kemerdekaan yang terus terpahat dalam jiwa rakyat Malaysia.
Dengan pengalaman selama 30 tahun dalam bidang persembahan dan lebih 25 tahun dalam industri muzik, T-REX bukanlah nama asing dalam kalangan peminat muzik rock tempatan.
Beliau sebelum ini dikenali sebagai bekas vokalis utama kumpulan Kamikaze dan suaranya cukup sinonim dengan lagu-lagu seperti Luhur, Tawa Dalam Tangisan dan Pergi Selamanya, yang masih mendapat tempat dalam kalangan peminat sehingga hari ini.
Menerusi Jiwa Merdeka, T-REX sekali lagi membuktikan bahawa perjalanan seninya masih terus berkembang dengan keberanian untuk meneroka sisi berbeza dalam berkarya, kali ini menerusi sebuah lagu patriotik yang tetap mengekalkan roh muzik rock.
Projek tersebut diterajui oleh Melissa Ng yang bertanggungjawab terhadap konsep kreatif dan perancangan keseluruhan, selain turut bertindak sebagai penulis lirik, komposer serta penerbit lagu.
Menurut Melissa, idea utama di sebalik penghasilan Jiwa Merdeka adalah untuk menghasilkan sebuah lagu Hari Kebangsaan yang membawa suasana lebih santai, ceria dan mudah dinikmati.
“Bagi saya, sambutan Hari Kebangsaan sepatutnya diraikan dengan perasaan gembira dan penuh semangat.
“Sebab itu, kami mahu Jiwa Merdeka membawa suasana yang lebih santai, ceria dan mudah dinyanyikan bersama,” katanya.
Walaupun berdepan beberapa cabaran sepanjang proses produksi dan pelaksanaan projek, segala perancangan berjaya direalisasikan hasil kerjasama semua pihak yang terlibat.
Jiwa Merdeka ditulis, digubah dan diterbitkan oleh Melissa Ng, manakala susunan muzik dilakukan oleh Melissa bersama Yon Iskandar. Proses mixing dan mastering pula dikendalikan oleh Yon Iskandar.
Tidak hanya mengangkat kekuatan muzik, video muzik Jiwa Merdeka turut menampilkan visual yang meriah dan bertenaga bagi menghidupkan semangat lagu tersebut.
Video muzik berkenaan menampilkan T-REX bersama barisan pemuzik serta 14 penari, sekali gus memberikan warna dan suasana lebih meriah bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Fareeq Alias bertindak sebagai pengarah, manakala produksi video dikendalikan oleh Stereo Pixels.
Melissa Ng pula mengetuai konsep kreatif projek tersebut, termasuk bertanggungjawab terhadap reka bentuk kostum bertemakan Hari Kebangsaan serta imej dan gaya penampilan T-REX dalam video muzik berkenaan.
Berdurasi tiga minit 26 saat, Jiwa Merdeka menggabungkan elemen Malay Rock dengan mesej kebangsaan yang mudah dihayati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Karya terbaharu T-REX itu kini boleh didengari menerusi pelbagai platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
The post T-REX semarakkan semangat merdeka menerusi Jiwa Merdeka appeared first on Utusan Malaysia.






