Lalamove, salah satu perkhidmatan yang terkenal dengan penawaran penghantaran barangan popular di Malaysia, kini turut memperluaskan penawaran perkhidmatan mereka untuk meliputi perkhidmatan seru-pandu. Dengan langkah ini, para pengguna boleh melakukan tempahan kenderaan ke sesuatu destinasi terus melalui aplikasi Lalamove.

Lalamove menamakan perkhidmatan ini sebagai Lalamove Ride. Apabila membuka aplikasi Lalamove, kini sebuah tab tambahan baharu diperlihatkan, dinamakan “Perjalanan”. Pengguna boleh memasukkan alamat pengambilan dan destinasi, seterusnya memilih jenis kenderaan. Harga pengangkutan akan dipaparkan, dan pengguna boleh lakukan tempahan terus melaluinya.
Buat masa ini, perkhidmatan Lalamove Ride ini dilihat masih terhad ke pengguna sekitar Lembah Klang sahaja. Bagi anda yang berminat, boleh menyemak penawaran Lalamove Ride ini melalui aplikasi Lalamove hari ini. Selain Lalamove Ride, baru-baru ini turut menyaksikan pengenalan perkhidmatan seru-pandu Bolt di Malaysia.

