Polis Pahang Nafi Dakwaan Kartel Dadah Beroperasi Di Genting Highlands

17 Aug 2026 • 8:54 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Polis Pahang Nafi Dakwaan Kartel Dadah Beroperasi Di Genting Highlands

KUANTAN - Polis Pahang menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa sebuah kartel dadah berskala besar sedang beroperasi di Genting Highlands, tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata pihak polis sentiasa akan mengambil tindakan terhadap sebarang kesalahan jenayah yang dilaporkan, tanpa mengira lokasi kejadian.

“Sekiranya terdapat laporan polis berkaitan sesuatu kesalahan, sama ada di Genting Highlands atau di mana-mana lokasi lain, kita akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis serah terima tugas Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan mengenai kewujudan sebuah kartel dadah besar yang didakwa beroperasi di kawasan peranginan berkenaan.

Azry turut menolak dakwaan pihak polis gagal mengambil tindakan terhadap kegiatan berkenaan.

“Saya menafikan bahawa terdapat kartel dadah berskala besar yang beroperasi di Genting Highlands,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Senior Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahar dilantik sebagai Ketua JPJKK Pahang yang baharu, menggantikan Datuk Mohamad Noor Yusof Ali yang kini dilantik sebagai Setiausaha Polis Diraja Malaysia.

Ahmad Sukarno yang sebelum ini bertugas di Sekretariat JPJKK Bukit Aman mengambil alih tugas daripada Pemangku Ketua JPJKK Pahang, Asisten Komisioner Muhammed Rizal Kamarudin.

Menurut Azry, pengalaman serta pengetahuan yang diperoleh Ahmad Sukarno sepanjang lebih tiga dekad dalam pasukan polis diyakini mampu membantu beliau menerajui jabatan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya berharap Ahmad Sukarno dapat meneruskan usaha yang telah dilaksanakan kepimpinan terdahulu, selain memperkenalkan pendekatan baharu bagi memperkukuh usaha pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti di Pahang. - Getaran, 17 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved