Land & General rancang bangunkan 1,012 hektar rizab tanah Lembah Beringin sebagai taman perindustrian

Business & FinanceProperty
22 Sep 2026 • 6:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Land & General rancang bangunkan 1,012 hektar rizab tanah Lembah Beringin sebagai taman perindustrian Image from: Land & General rancang bangunkan 1,012 hektar rizab tanah Lembah Beringin sebagai taman perindustrian hamden22/09/2026 - 18:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept - Land & General Bhd (L&G) merancang mengubah rizab tanah seluas kira-kira 1,012 hektar ekar di Lembah Beringin menjadi taman perindustrian, sebagai langkah memperluas platform pertumbuhan Kumpulan melangkaui pembangunan hartanah.

 

Cadangan pembangunan itu menjadi teras kepada strategi pertumbuhan perindustrian L&G, dengan fasa pertama disasarkan untuk dilancarkan dalam tahun kewangan 2027 (FY2027), tertakluk kepada kelulusan diperlukan.

 

Kumpulan menjangkakan pembangunan berkenaan mula menyumbang kepada pengiktirafan hasil pada FY2028, sekali gus membuka potensi nilai jangka panjang daripada aset tanah yang telah lama dimiliki.

 

Menurut L&G, pembangunan taman perindustrian itu bertujuan membolehkan Kumpulan mengambil bahagian dalam permintaan struktur yang didorong oleh pelaburan dalam sektor pembuatan, logistik dan teknologi.

 

Pada masa sama, pembangunan secara berperingkat dan sistematik itu akan membantu membuka nilai rizab tanah strategik berkenaan secara progresif.

 

LB

 

Pengarah Urusan L&G, Low Gay Teck berkata, langkah memasuki pembangunan taman perindustrian merupakan peluasan keupayaan Kumpulan dan bukannya perubahan daripada kekuatan yang telah dibina selama beberapa dekad.

 

“Pembangunan hartanah akan terus menjadi tunjang Kumpulan, pendidikan akan menyediakan pendapatan berulang, manakala pembangunan perindustrian membuka saluran baharu untuk pertumbuhan jangka panjang.

 

“Bersama-sama, ketiga-tiga tonggak ini memberikan L&G platform yang lebih luas dan berdaya tahan untuk masa depan,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-63 hari ini.

 

Pembangunan tanah di Tampoi 

Selain projek di Lembah Beringin, L&G turut meneruskan rancangan membangunkan tanah seluas 13.74 ekar di Tampoi, Johor sebagai pembangunan perindustrian dan komersial berstrata dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta.

 

Strategi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha L&G memperluas sumber pertumbuhan Kumpulan daripada satu tonggak pendapatan utama kepada tiga tonggak yang saling melengkapi, iaitu pembangunan hartanah, pendidikan dan pembangunan perindustrian.

 

Pembangunan hartanah kekal sebagai pemacu utama pendapatan L&G, disokong saluran projek kediaman yang sihat serta pelaksanaan berdisiplin.

 

Segmen pendidikan pula menyediakan aliran pendapatan berulang menerusi sekolah Sri Bestari, manakala pembangunan perindustrian dijangka menjadi enjin pertumbuhan baharu Kumpulan.

 

Prestasi kewangan

Dari segi prestasi, L&G merekodkan prestasi rekod bagi FY2026 apabila hasil meningkat 70.6% kepada RM490.5 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 25.6% kepada RM74.2 juta.

 

Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik turut meningkat 38.7% kepada RM50.5 juta.

 

Momentum itu berterusan pada suku pertama berakhir 30 Jun 2026 (1QFY2027), dengan hasil meningkat 61.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM159 juta.

 

PBT meningkat 42.6% YoY kepada RM24.9 juta, manakala keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik melonjak 88.7% YoY kepada RM21.5 juta.

 

Setakat 30 Jun 2026, Kumpulan mempunyai kira-kira RM513 juta jualan belum dibilkan, memberikan keterlihatan pendapatan ketika projek pembinaan diteruskan.

 

L&G turut mempunyai kira-kira RM1.5 bilion pelancaran yang dirancang bagi FY2027, yang dijangka menyokong momentum operasi Kumpulan ketika ia melaksanakan strategi pertumbuhan baharu.

 

Sementara itu Mesyuarat Agung Tahunan meluluskan kesemua sembilan resolusi biasa termasuk meluluskan dividen akhir 0.8 sen untuk FY2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved