
SUBANG - Sebuah helikopter dengan nombor pendaftaran Ukraine meletup sebelum terbakar ketika menjalani ujian operasi enjin di sebuah fasiliti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, tengah hari tadi.
Kejadian kira-kira jam 12.28 tengah hari itu menyebabkan seorang anggota kru cedera, manakala helikopter berkenaan musnah sepenuhnya akibat kebakaran.
Empat warga Ukraine dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan, terdiri daripada seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan dua anggota kru.
Mangsa yang cedera dilaporkan berada di luar helikopter ketika letupan berlaku.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, mangsa mengalami kecederaan selepas terkena serpihan akibat letupan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika enjin helikopter sedang diuji selepas kerja-kerja penyelenggaraan selesai dijalankan.
“Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.30 tengah hari.
“Susulan panggilan berkenaan, lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong dihantar ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.34 tengah hari dan komander operasi kemudian melaporkan, helikopter berkenaan telah musnah sepenuhnya akibat kebakaran susulan letupan.
Operasi pemadaman awal dilakukan oleh Airport Fire and Rescue Service (AFRS), dengan bantuan anggota yang ditempatkan di fasiliti berkenaan di Lapangan Terbang Subang.
Dalam perkembangan berkaitan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan helikopter terbabit ialah jenis Kamov Ka-32S dengan nombor pendaftaran Ukraine, UR-CIT.
CAAM memaklumkan kejadian berlaku pada jam 12.28 tengah hari ketika helikopter itu menjalani ujian operasi enjin di darat sebagai sebahagian daripada kerja-kerja penyelenggaraan.
Susulan kejadian, landasan lapangan terbang berkenaan ditutup sementara, menyebabkan semua penerbangan masuk dan keluar digantung.
Landasan itu bagaimanapun dibuka semula pada jam 2.57 petang.
Sepanjang tempoh gangguan, sebanyak lapan penerbangan masuk terpaksa dialihkan ke lapangan terbang lain, manakala tiga penerbangan berlepas ditangguhkan.
Insiden berkenaan kini disiasat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan.
Sebelum ini, CAAM menasihatkan penumpang yang terjejas akibat penutupan sementara landasan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status penerbangan mereka. - Getaran, 15 Ogos 2026





