KarbonMRO nafi helikopter terbakar di fasilitinya

15 Aug 2026 • 5:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: KarbonMRO nafi helikopter terbakar di fasilitinya

PETALING JAYA – KarbonMRO Services Sdn. Bhd. menafikan laporan media terbaharu yang tersilap mengenal pasti fasiliti syarikat itu sebagai lokasi insiden sebuah helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, hari ini.

Pengarah Urusan KarbonMRO Services Sdn. Bhd., Kevin Teoh berkata, insiden berkenaan tidak berlaku di fasiliti KarbonMRO dan helikopter terbabit juga bukan pelanggan syarikat berkenaan.

Katanya, KarbonMRO tidak terbabit dalam operasi atau penyelenggaraan helikopter tersebut.

“KarbonMRO telah menghubungi organisasi media berkaitan untuk meminta supaya laporan berkenaan diperbetulkan dan semua rujukan kepada KarbonMRO berkaitan insiden ini dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebagai sebuah organisasi penerbangan, KarbonMRO memandang serius aspek keselamatan, ketepatan maklumat dan reputasi.

“Perkaitan yang tidak tepat antara fasiliti dan syarikat kami dengan insiden yang kami tidak mempunyai sebarang penglibatan adalah membimbangkan, khususnya memandangkan kepentingan maklumat yang tepat dalam industri penerbangan,” katanya.

Tambah beliau, KarbonMRO kekal komited terhadap standard keselamatan, kualiti dan profesionalisme tertinggi dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan serta rakan kongsi.

“Kami dengan hormatnya meminta supaya sebarang laporan pada masa hadapan berhubung perkara ini menggambarkan fakta serta pihak yang terbabit dengan tepat,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah helikopter jenis Kamov Ka-32 terbakar ketika hendak berlepas bagi tujuan pengujian enjin selepas pembaikan di Lapangan Terbang Subang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, empat mangsa dilaporkan berjaya menyelamatkan diri dan berada dalam keadaan selamat.

Empat lelaki warga Ukraine terbabit terdiri daripada seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan dua kru. – KOSMO! ONLINE

The post KarbonMRO nafi helikopter terbakar di fasilitinya appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved