Langkah AS sekat cip AI ke China tidak jejaskan sektor pembinaan Malaysia, projek pusat data kekal rancak - RHB Research

3 Jun 2026 • 11:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Langkah AS sekat cip AI ke China tidak jejaskan sektor pembinaan Malaysia, projek pusat data kekal rancak - RHB Research Image from: Langkah AS sekat cip AI ke China tidak jejaskan sektor pembinaan Malaysia, projek pusat data kekal rancak - RHB Research liza03/06/2026 - 11:49 Pusat Data 150MW JH1 milik Princeton Digital Group di Sedenak Tech Park, Johor - Gambar hiasan FB MB Johor Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Jun – Dasar baharu Amerika Syarikat (AS) yang memperketatkan sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI) ke syarikat berpangkalan di China dilihat tidak memberi kesan besar kepada prospek sektor pembinaan Malaysia, khususnya segmen pusat data, menurut RHB Research.

 

Pada 31 Mei, Jabatan Perdagangan AS  mengumumkan pelaksanaan semula kawalan lebih ketat terhadap eksport cip AI berprestasi tinggi kepada syarikat China, termasuk operasi luar negara bagi menutup ruang “loophole” sebelum ini.

 

Langkah itu antara lain bertujuan menghalang akses tidak langsung syarikat China terhadap pemproses AI canggih seperti Nvidia Blackwell melalui subsidiari mereka di luar negara.

 

RHB Research berpandangan walaupun dasar ini diperketatkan, ia tidak menjejaskan operasi pusat data sedia ada atau servis peralatan pengkomputeran berprestasi tinggi.

 

Sebelum ini, pada Mei 2025, AS pernah menyatakan ia tidak akan menguatkuasakan sepenuhnya “AI Diffusion Rule” yang diperkenalkan pada penghujung pentadbiran Presiden Joe Biden, yang mengawal akses global terhadap cip AI.

 

“Peraturan terdahulu itu mewajibkan lesen khas untuk penggunaan dan pengedaran cip AI di peringkat global, namun status pelaksanaannya kini tidak lagi konsisten.

 

“Terdapat kemungkinan ratusan ribu cip AI telah pun memasuki pasaran global ketika wujudnya jurang dalam penguatkuasaan sebelum ini.

 

“Dari sudut impak kepada Malaysia, syarikat yang terlibat dengan pembinaan pusat data utama seperti Gamuda, Sunway Construction dan IJM Corporation kekal tidak terlalu terdedah kepada pelanggan dari China.

 

“Sebaliknya, projek pusat data di Malaysia lebih banyak digerakkan oleh syarikat teknologi antarabangsa berskala besar seperti Microsoft dan lain-lain,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Firma penyelidikan itu turut menyenaraikan harga sasaran bagi saham pilihan sektor pembinaan, dengan Gamuda pada RM6.19, Sunway Construction pada RM8.33 dan Binastra pada RM2.72, mencerminkan pandangan positif terhadap potensi kenaikan nilai saham-saham tersebut dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Antara projek utama yang menjadi tumpuan ialah pembangunan pusat data oleh Pearl Computing Malaysia di Port Dickson, Negeri Sembilan yang melibatkan kawasan seluas 389 ekar dengan kapasiti dianggarkan antara 500 hingga 700 megawatt (MW).

 

Projek tersebut dijangka menempatkan sekitar 5 hingga 7 blok pusat data dan menjadi antara pembangunan digital berskala besar di negara ini.

 

Selain itu, Microsoft Southeast Asia Region 3 yang diumumkan pada Oktober 2025 turut dilihat sebagai pemangkin utama industri, dengan projek itu dikaitkan dengan pembelian beberapa lot tanah di Johor antara tahun 2023 hingga 2025.

 

RHB Research menganggarkan kawasan tersebut mampu menampung kapasiti sekitar 500MW pusat data yang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau.

 

Walaupun prospek kekal kukuh, RHB Research memberi amaran risiko utama sektor adalah jika pelaburan daripada syarikat teknologi global multinasional dikurangkan atau dibatalkan. Jika ini berlaku, kesannya dijangka lebih ketara kepada kontraktor kecil dan sederhana, khususnya dalam segmen mekanikal dan elektrikal (M&E) yang banyak bergantung kepada projek tertentu.

 

Namun, firma itu berkata momentum pembangunan pusat data yang pantas di Malaysia masih mampu menyokong pertumbuhan sektor pembinaan dalam tempoh sederhana.

 

RHB Research turut menekankan bahawa kerja pembinaan asas pusat data seperti “core and shell” kekal stabil kerana bergantung kepada penggunaan simen dan konkrit, menjadikannya kurang terdedah kepada turun naik projek infrastruktur lain.

 

Secara keseluruhan, sektor pembinaan Malaysia kekal berada dalam kedudukan kukuh, disokong oleh aliran masuk projek pusat data global yang masih aktif di rantau ini. - DagangNews.com

Terkini standard