Lanjutan pengecualian duti setem rumah hingga 2030 beri kelebihan kepada pembeli – SP Setia

13 Oct 2026 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lanjutan pengecualian duti setem rumah hingga 2030 beri kelebihan kepada pembeli – SP Setia Image from: Lanjutan pengecualian duti setem rumah hingga 2030 beri kelebihan kepada pembeli – SP Setia amree13/10/2026 - 12:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt — Pelanjutan pengecualian duti setem bagi rumah berharga sehingga RM750,000 hingga 2030 dijangka terus menyokong kemampuan rakyat memiliki kediaman, sekali gus merangsang permintaan pasaran hartanah, menurut SP Setia Berhad.

 

Pemaju hartanah tersebut sehubungan itu berpandangan positif dan menilai langkah diteruskan di bawah Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada pemilikan rumah, pembangunan infrastruktur, pelaburan mampan serta pengukuhan ekosistem pembinaan negara.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Zaini Yusoff berkata, pelanjutan pengecualian duti setem tersebut merupakan langkah yang cukup bermakna dalam membantu bakal pembeli rumah dan menyokong permintaan kediaman di seluruh negara.

 

"Tumpuan kerajaan terhadap usaha pemilikan rumah serta pertumbuhan yang berteraskan pelaburan turut menyediakan asas secara konstruktif untuk perkembangan sektor hartanah dan pembinaan tempatan," jelas beliau menerusi kenyataan.

 

Kumpulan berkenaan ujarnya, turut menyokong penekanan berterusan terhadap Johor sebagai koridor ekonomi dan pelaburan, termasuk pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta penambahbaikan hubungan pengangkutan serantau.

 

Inisiatif berkenaan melengkapi kehadiran SP Setia sendiri di Johor sejak sekian lama dan selaras dengan strategi mengembangkan perniagaan pembangunan perindustrian, di samping perniagaan teras pembangunan bandar secara bersepadu.

 

SP Setia_DagangNews2026

 

Dalam aspek pelaburan hijau, kumpulan itu menyokong kesinambungan Insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA), yang disifatkan selari dengan perancangan membangunkan Setia Fontaines Industrial Park sebagai taman perindustrian hijau.

 

"Pembangunan tersebut bertujuan menyokong ekosistem perindustrian yang semakin mengutamakan kelestarian, sejajar dengan strategi memperluas platform perindustrian kumpulan ini," kata kenyataan SP Setia lagi.

 

Bagi sektor pembinaan pula, kumpulan berkenaan turut menyambut baik pengenalan semula mekanisme Variasi Harga (VOP) bagi membantu pemain industri dalam mengurus situasi turun naik kos input utama seperti diesel dan bitumen.

 

Menurutnya, pelaksanaan mekanisme itu dapat memberikan kepastian lebih baik kepada kontraktor, selain menyokong daya tahan industri pembinaan ketika berdepan perubahan kos bahan dan operasi.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu menegaskan bahawa kos pembinaan dan pembangunan perumahan perlu terus diberi perhatian bagi memastikan rumah berkualiti kekal mampu dimiliki. 

 

"SP Setia turut menyokong usaha meningkatkan bekalan rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melalui kerjasama sektor awam dan swasta bagi membangunkan komuniti berkualiti, dan mempunyai jaringan perhubungan yang baik. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved