amree12/10/2026 - 10:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt — Pembeli rumah pertama berpotensi menjimatkan lebih RM15,500 menerusi perluasan pengecualian duti setem di bawah Belanjawan 2027, khususnya bagi hartanah bernilai sehingga RM750,000, menurut kumpulan teknologi hartanah antarabangsa, Juwai IQI.
Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata, langkah menaikkan had harga rumah yang layak mendapat pelepasan duti setem daripada RM500,000 kepada RM750,000 dijangka memperluas akses pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, pembeli rumah pertama yang merancang membeli hartanah berharga antara RM500,000 hingga RM750,000 wajar memahami tarikh kuat kuasa langkah berkenaan kerana kelayakan pengecualian itu hanya bermula pada Januari 2027, tertakluk kepada syarat pelaksanaan kerajaan.
"Bagi rumah berharga RM750,000 dengan pembiayaan pinjaman 90%, jumlah duti setem yang sepatutnya mencecah RM19,875 boleh dikurangkan kepada kira-kira RM4,300 bagi pembeli yang layak, sekali gus menghasilkan penjimatan lebih RM15,500," jelas beliau dalam kenyataan.
Menurut Kashif, kerajaan turut melanjutkan tempoh pelepasan duti setem berkenaan sehingga 2030, berbanding jadual terdahulu yang menetapkan kemudahan itu tamat pada penghujung 2027. Bagi rumah bernilai sehingga RM500,000, pengecualian meliputi instrumen pindah milik dan perjanjian pinjaman.
Selain insentif pembelian rumah ujar beliau, hampir RM1 bilion diperuntukkan bagi perumahan awam, termasuk program Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat (PRR), bagi membantu keluarga berpendapatan rendah untuk mendapatkan kediaman yang lebih mampu milik.

Peruntukan itu berpotensi membiayai hampir 13,000 rumah jika keseluruhan dana disalurkan kepada program Rumah Mesra Rakyat berdasarkan kos pembinaan yang dinyatakan dalam Belanjawan 2026. Bagaimanapun, jumlah sebenar bergantung pada agihan dana antara program perumahan yang terlibat.
"Belanjawan 2027 turut memperuntukkan jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM20 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), yang berpotensi membantu sehingga 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap," kata Kashif.
Pelaksanaan skim berkenaan tambah beliau, dapat membantu pemohon yang berkemampuan membayar ansuran tetapi selama ini sering berdepan dengan isu kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan disebabkan kekangan dokumentasi pendapatan atau kriteria pembiayaan bank.
Pengecualian penuh duti setem bagi perjanjian pinjaman dan instrumen pindah milik turut ditawarkan dari 2027 hingga 2030 kepada kontraktor atau pemaju penyelamat serta pembeli asal yang terlibat dalam projek berkenaan, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Ujarnya, belanjawan itu turut mengumumkan empat projek perumahan baharu di Kulai, Johor; Nilai, Negeri Sembilan; Paya Rumput, Melaka; dan Pertang Valley, Terengganu, bagi menambah penyediaan kediaman kepada rakyat.
Secara keseluruhan, Juwai IQI berpandangan peluasan pelepasan duti setem, jaminan pembiayaan perumahan dan peruntukan perumahan awam merupakan langkah penting untuk meningkatkan kemampuan rakyat memiliki rumah.
"Bagaimanapun, keberkesanannya bergantung pada pelaksanaan dasar, kelayakan pemohon serta kemampuan pembeli mengurus kos pembiayaan dan komitmen kewangan jangka panjang," jelas Kashif. - DagangNews.com






