Lapan daerah Pantai Timur Sabah terputus bekalan elektrik

26 Nov 2026 • 10:11 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lapan daerah Pantai Timur Sabah terputus bekalan elektrik
Tangkap layar video tular yang menunjukkan sebuah menara penghantaran bekalan elektrik milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tumbang.

KOTA KINABALU - Lapan daerah di Pantai Timur Sabah terputus bekalan elektrik pagi ini, menurut notis pemakluman Sabah Electricity Sdn Bhd pada Khamis.

Notis pemakluman yang dimuat naik di laman Facebook rasmi syarikat itu memberitahu daerah terlibat adalah Tawau, Sandakan, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Beluran, Telupid, dan Kinabatangan.

"Pihak Sabah Electricity sedang mengenal pasti punca gangguan dan seterusnya melaksanakan pemulihan secara berperingkat.

"Sabah Electricity amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali, terima kasih,” katanya.

Sabah Electricity memaklumkan terdapat insiden berkaitan penghantaran bekalan elektrik ke kawasan terlibat dikesan syarikat itu berlaku pada jam 6.04 pagi Khamis.

"Bilik gerakan telah diaktifkan dan pasukan teknikal sedang melaksanakan usaha pemulihan bekalan elektrik terutama di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu secara berperingkat," katanya.

Menurutnya, punca sebenar kejadian sedang dikenal pasti.

Sementara itu di media sosial, tular video kejadian berdurasi 1 minit 51 saat menunjukkan kabel penghantaran elektrik merentas jalan di daerah Ranau akibat menara penghantaran terletak berhampiran tumbang. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved