
KOTA KINABALU – Lapan daerah di Pantai Timur Sabah terputus bekalan elektrik pagi ini, menurut notis pemakluman Sabah Electricity Sdn Bhd hari ini.
Notis pemakluman yang dimuat naik di laman Facebook rasmi syarikat itu memberitahu daerah terlibat adalah Tawau, Sandakan, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Beluran, Telupid, dan Kinabatangan.
“Pihak Sabah Electricity sedang mengenal pasti punca gangguan dan seterusnya melaksanakan pemulihan secara berperingkat.
“Sabah Electricity amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali, terima kasih,” katanya.
Punca kejadian masih disiasat, bagaimanapun ia dipercayai berpunca daripada sebuah menara penghantaran bekalan elektrik tumbang di daerah Ranau.
Sementara itu di media sosial, tular video kejadian berdurasi 1 minit 51 saat menunjukkan kabel penghantaran elektrik merentas jalan di daerah Ranau akibat menara penghantaran terletak berhampiran tumbang.
Sabah Electricity memaklumkan terdapat insiden berkaitan penghantaran bekalan elektrik ke kawasan terlibat dikesan syarikat itu berlaku pada 6.04 pagi tadi.
“Bilik gerakan telah diaktifkan dan pasukan teknikal sedang melaksanakan usaha pemulihan bekalan elektrik terutama di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu secara berperingkat,” katanya. – Bernama
The post Lapan daerah Pantai Timur Sabah terputus bekalan elektrik appeared first on Kosmo Online.






