Menara tumbang jejaskan dua litar penghantaran elektrik ke Pantai Timur Sabah

26 Nov 2026 • 1:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Menara tumbang jejaskan dua litar penghantaran elektrik ke Pantai Timur Sabah
Sabah Electricity memaklumkan pasukan teknikal syarikat itu kini sedang menjalankan penilaian menyeluruh di lokasi.

KOTA KINABALU - Menara penghantaran elektrik T313 di Ranau tumbang awal pagi Khamis, menjejaskan kedua-dua litar talian penghantaran dan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik ke kawasan Pantai Timur Sabah.

Sabah Electricity dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan pasukan teknikal syarikat itu kini sedang menjalankan penilaian menyeluruh di lokasi bagi mengenal pasti punca kejadian serta menentukan kaedah pemulihan yang paling cepat, berkesan dan selamat.

"Dalam masa yang sama, set jana kuasa bergerak (genset) kini dalam perjalanan ke kawasan terjejas sebagai langkah alternatif bagi membantu memulihkan bekalan elektrik.

"Segala sumber, aset dan tenaga kerja terus digerakkan dengan keutamaan bagi mempercepat pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas, manakala perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi Sabah Electricity,” katanya.

Sabah Electricity amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh para pengguna ketika ini dan dengan penuh rasa tanggungjawab memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami.

Pagi Khamis, lapan daerah di Pantai Timur Sabah terputus bekalan elektrik susulan kejadian itu yang dikesan oleh syarikat berkenaan pada jam 6.04 pagi.

Daerah terlibat ialah Tawau, Sandakan, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Beluran, Telupid, dan Kinabatangan.

Insiden gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah pernah berlaku pada 13 September tahun lepas apabila sebuah menara penghantaran elektrik tumbang akibat tanah runtuh di Penampang.

Kejadian itu menjejaskan talian penghantaran 275 kilovolt (kV) Kolopis-Segaliud dan kira-kira 230,000 pengguna ketika itu, sebelum bekalan dipulihkan sepenuhnya selepas beberapa hari. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved