
SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima barangan berharga berkaitan penggunaan syarikat kontraktor bagi kerja pengubahsuaian rumahnya pada sembilan tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, 56, mengaku tidak bersalah selepas mendengar tiga pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan Adi Azuan didakwa sebagai penjawat awam menerima kos pengubahsuaian tiga buah rumah dekat Seksyen 13, di sini; Kota Damansara, Petaling Jaya dan USJ Height, Subang Jaya yang bernilai RM302,499.27.
Dalam prosiding tertangguh itu, beliau didakwa menerima daripada seorang pengarah sebuah syarikat pembinaan pada hari yang sama iaitu 7 Mac 2017 yang diketahui ada kena mengena dalam urusan yang dijalankan olehnya.
Kesalahan tersebut dilakukan di lokasi seperti mana alamat ketiga-tiga rumah terbabit, justeru Adi Azuan dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin kemudian mencadangkan jumlah jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin.
“Memandangkan tertuduh tidak mengaku salah, pihak pendakwaan mengesyorkan jaminan sebanyak RM70,000. Seperti mana mahkamah maklum kes ini adalah non bailable offense,” katanya.
Peguam yang mewakili tertuduh, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin dan Tania Scivetti kemudian memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM30,000 atas pelbagai faktor termasuk anak guam tidak lagi berkhidmat sebagai COO TH sejak tahun lalu selain mempunyai empat orang anak berusia 12 hingga 25 tahun yang semuanya masih bersekolah dan belajar di universiti.
“Kami sertakan laporan perubatan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Seperti dimaklumkan dalam laporan itu, tertuduh seboleh mungkin mengelak perbuatan yang memberi tekanan kepada fizikal dan emosi kerana akan mencetuskan kecederaan myocardial. Selain itu, jumlah jaminan bersifat menghukum.,” ujarnya.
Sementara Tania pula memohon anak guamnya itu dibenarkan lapor diri sebanyak sekali dalam tiga bulan berdasarkan keadaan kesihatan Adi Azuan, jika syarat tambahan dikenakan kepada tertuduh.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin warganegara yang tinggal di Selangor atau Kuala Lumpur.
“Tertuduh dikehendaki melaporkan diri di Pejabat SPRM Putrajaya seperti mana dikemukakan permohonan oleh peguam. Tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah. Tertuduh juga tidak boleh mengganggu mana-mana saksi pendakwaan,” jelasnya.
Mahkamah turut menetapkan 25 November untuk sebutan semula dan pengurusan kes.
Adi Azuan sepatutnya dituduh di mahkamah sama pada 3 September lalu, namun beliau didapati gagal hadir apabila isterinya, Zureen Zainuddin memaklumkan suaminya itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 31 Ogos selepas mengadu sakit dada.
Dokumen perubatan daripada pakar kardiologi hospital tersebut turut diserahkan oleh peguam kepada mahkamah bagi mengesahkan status dan ketidakhadiran beliau pada tarikh berkenaan.
Tertuduh merupakan antara lima pegawai kanan TH dinamakan dalam laporan RCI susulan dapatan mendedahkan tindakan tatatertib terhadap mereka melibatkan beberapa kes salah laku serius yang kemudian diringankan selepas rayuan.
Menurut laporan RCI, tindakan tatatertib itu melibatkan empat isu utama termasuk penjualan saham PT TH Indo Plantations, sumbangan RM22.12 juta kepada Yayasan Tabung Haji tanpa kelulusan menteri, pengisytiharan agihan keuntungan hibah 2017 serta tuntutan palsu. – UTUSAN
The post Laporan RCI: Bekas COO Tabung Haji dituduh terima barang berharga appeared first on Utusan Malaysia.






