Bekas COO TH didakwa terima kos ubah suai tiga rumah

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 11:04 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas COO TH didakwa terima kos ubah suai tiga rumah

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima kos pengubahsuaian tiga buah rumah bernilai RM302,499.27, sembilan tahun lalu.

Adi Azuan Abdul Ghani, 56, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, Adi Azuan ketika itu merupakan COO TH didakwa menerima sesuatu yang berharga sebagai balasan yang diketahuinya tidak mencukupi, iaitu kos pengubahsuaian tiga buah rumah masing-masing bernilai RM235,866.58, RM50,698.74 dan RM15,933.95.

Kesemua kos pengubahsuaian itu diterima daripada Pengarah Syarikat AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail yang diketahui mempunyai kena-mengena dalam urusan yang dijalankan tertuduh

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga buah rumah yang terletak di Seksyen 13 di sini, Kota Damansara dan USJ 2, Subang Jaya pada 17 Mac 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan RM70,000 dan menyerahkan syarat tambahan kepada mahkamah.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin mewakili tertuduh merayu jaminan dikurangkan terhadap anak guamnya susulan menanggung empat anak lelaki berusia 12 hingga 25 tahun yang masih belajar.

Menurutnya, anak guamnya telah bersara tahun lalu selain memberikan kerjasama kepada SPRM dalam siasatan pada 2018 dan bulan lalu.

“Keputusan siasatan SPRM pada 2020 mendapati tiada penemuan salah namun disiasat lagi hingga membawa pertuduhan pada hari ini.

“Tertuduh juga memerlukan rawatan penyakit jantungnya. Kami turut memohon pasport tidak ditahan mahkamah ekoran tertuduh hendak menunaikan umrah serta jaminan sekitar RM30,000,” jelasnya.

Mahkamah kemudian membenarkan Adi Azuan diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin serta menetapkan beberapa syarat tambahan.

Antaranya, tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM sekali setiap tiga bulan bermula bulan depan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan

Kosmo! pada 3 September lalu melaporkan pertuduhan terhadap bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) terpaksa ditangguhkan selepas tidak hadir ke Mahkamah Sesyen kerana menerima rawatan berkaitan jantung di Pusat Perubatan Pakar Universiti Malaysia (UMSC).

Sebelum ini, tujuh individu terdiri daripada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), seorang pengarah syarikat, seorang bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan TH ditahan SPRM pada 14 Ogos lalu bagi membantu siasatan berkaitan isu dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji. – KOSMO! ONLINE

The post Bekas COO TH didakwa terima kos ubah suai tiga rumah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved