Perpaduan nadi kemakmuran Pahang

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 7:26 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Perpaduan nadi kemakmuran Pahang

RAUB – Pahang meletakkan perpaduan sebagai kekuatan sehingga berjaya menduduki tangga pertama dalam Indeks Perpa­duan Nasional tahun lalu sete­rusnya menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang akan terus mempertahankan keharmonian dan perpaduan antara semua kaum di negeri ini seiring dengan pengiktirafan diperoleh.

“Bukan senang untuk mendapat tempat pertama dalam Indeks Perpaduan Nasional ke­rana ia diukur daripada pelbagai sudut. Setiap perkembangan melihat kepada perhubungan kaum, laporan yang disediakan, adakah berlakunya pertelingkahan kaum dan sebagainya.

“Alhamdulillah, Pahang meng­atasi negeri di Semenanjung Malaysia dan negara kita dengan mendapat tempat pertama (Indeks Perpaduan Nasional). Lebih membanggakan bandar Raub dan Lipis turut tersenarai antara 10 bandar Paling Bahagia di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 pe­ringkat negeri di Dataran Raub di sini malam kelmarin.

Menurut beliau, pengiktirafan itu bukan sekadar satu pencapaian, tetapi cerminan wajah rakyat Pahang yang selama ini hidup dalam suasana saling menghormati, membantu dan mempercayai.

Justeru katanya, kejayaan itu bukan untuk dibanggakan, sebaliknya adalah amanah untuk dipertahankan.

“Saya mahu pencapaian kita meningkat tahun 2026, lebih daripada dua bandar bahagia. Kita mahu Pahang terus menjadi contoh bahawa kepelbagaian bukan sebab untuk kita berpe­cah, sebaliknya kekuatan untuk kita bergerak secara bersama,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, menerusi Aspirasi Pahang 1st, kerajaan mengisi kemerdekaan dengan pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat.

Katanya, kerajaan ne­geri mahu ekonomi berkembang, pelaburan bertambah, peluang pekerjaan diwujudkan dan pendidikan anak-anak terus diperkasa dan pada masa sama, kebajikan golongan yang memerlukan terus dilaksanakan.

“Pelbagai inisiatif melalui Inisiatif Makmur Pahang dan prog­ram-program Kerajaan Negeri terus dilaksanakan supaya manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat kerana akhirnya, ukuran kejayaan bukan sekadar pada ang­ka dan statistik.

“Kejayaan yang sebenar adalah apabila rakyat dapat hidup dengan lebih baik, lebih tenang dan lebih sejahtera,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta semua rakyat negeri ini untuk menghayati makna kemerdekaan yang mana ia bukan sekadar tentang bendera dan sambutan, tetapi kemerdekaan adalah hasil pengorbanan.

Jelasnya di bumi Pahang, kita mengenang tokoh seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman yang bangkit mempertahankan tanah air.

Katanya, jika dahulu perjuangan mereka adalah menentang penjajahan, perjuangan kita hari ini pula ialah memastikan keamanan terus terpelihara, perpaduan terus kukuh dan negara terus membangun.

“Dalam pada itu, dunia juga sudah berubah, cabaran hari ini tidak semestinya datang dengan senjata. Kadangkala ia hadir melalui telefon di tangan kita dalam bentuk berita palsu, fitnah, tohmahan dan permainan persepsi.

“Sebab itu saya hendak berpesan kepada tuan-tuan dan puan-puan semua. Jangan mudah percaya sebelum menyemak, jangan mudah menghukum sebelum mengetahui kebenaran dan jangan menjadi penyambung kepada perkara yang boleh memecah-belahkan kita.

“Kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan sampai perbezaan itu merosakkan persaudaraan, serta memusnahkan keharmonian yang telah kita bina selama puluhan tahun,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE

The post Perpaduan nadi kemakmuran Pahang appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved