
RAUB – Kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membolehkan negeri Pahang terus melangkah maju dan mencatat pelbagai pencapaian membanggakan dalam bidang ekonomi, pelancongan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, Wan Rosdy telah berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negeri sehingga Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang meningkat kepada RM71 bilion pada 2025.
Selain itu katanya, beliau juga terus memperkasakan sektor pelancongan negeri sehingga Pahang berjaya merekodkan 15.27 juta kehadiran pelancong sepanjang tahun 2025.
“Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat, negeri Pahang berjaya merekodkan skor tertinggi Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025, iaitu 0.817, sekali gus mencerminkan tahap perpaduan yang paling kukuh di Malaysia.
“Terima kasih juga kerana telah memacu kecemerlangan bidang pendidikan negeri Pahang” katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Raub di sini malam kelmarin.
Dalam pada itu Fadzli menerangkan, kejayaan sebenar sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui angka dan pencapaian sebaliknya apabila rakyat dapat hidup dalam keadaan aman, stabil, bersatu dan mempunyai masa depan yang lebih baik.
“Inilah kepimpinan Menteri Besar, keamanan dan kestabilan di negeri Pahang ini sentiasa terpelihara. Buktinya bumi Raub ini sendiri telah diiktiraf sebagai antara bandar paling bahagia di Malaysia,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE
The post Rakyat miliki masa depan lebih baik appeared first on Kosmo Digital.






