
Lebih 150,000 Kenderaan Sehari Dijangka Menggunakan WCE Sempena Merdeka & Cuti Sekolah
West Coast Expressway (WCE) menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari di jajaran lebuh raya yang telah beroperasi, sepanjang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan cuti sekolah.
Peningkatan trafik dijangka berlaku berikutan pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan melakukan perjalanan antara negeri, khususnya antara Lembah Klang dengan destinasi lain di Selangor dan Perak.
Sehubungan itu, WCE menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan perjalanan pada waktu puncak, khususnya dari lewat petang hingga malam.

“Kami menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari akan menggunakan WCE sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah ini. Peningkatan ini selaras dengan corak perjalanan yang lazimnya lebih tinggi ketika musim cuti, khususnya bagi perjalanan antara Lembah Klang dengan destinasi di Selangor dan Perak,” kata Ir. Syed Muhd. Naguib, Ketua Operasi Lebuhraya WCE.
“Lebih penting, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah, ramai rakyat Malaysia akan berada di jalan raya untuk bersama keluarga dan mengunjungi pelbagai destinasi. Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan setiap pengguna lebuh raya. Rancang perjalanan, dapatkan rehat yang secukupnya dan jangan sekali-kali menggadaikan keselamatan semata-mata untuk menjimatkan beberapa minit perjalanan.”

WCE TINGKAT KESIAPSIAGAAN OPERASI 24 JAM
Bagi membantu memastikan perjalanan lebih lancar dan selamat sepanjang tempoh cuti ini, WCE akan meningkatkan kesiapsiagaan operasi di sepanjang jajaran yang telah dibuka, termasuk rondaan lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang beroperasi 24 jam, selain pemantauan keadaan trafik secara berterusan.
Pengguna digalakkan menggunakan aplikasi ‘WCE App’ untuk merancang perjalanan, mendapatkan panduan navigasi laluan serta memperoleh maklumat trafik masa nyata, termasuk paparan CCTV secara langsung di sepanjang lebuh raya.

Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan supaya:
Memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan jauh;
Memastikan baki kad Touch ’n Go atau e-wallet mencukupi sebelum memasuki lebuh raya;
Mematuhi had laju dan memakai tali pinggang keledar pada setiap masa;
Mendapatkan rehat yang secukupnya dan berhenti berehat di hentian sebelah, plaza tol atau kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan di sepanjang WCE sekiranya berasa letih;
Tidak menggunakan lorong kecemasan kecuali dalam keadaan kecemasan;
Bagi penunggang motosikal, kawasan teduhan motosikal disediakan di sepanjang lebuh raya untuk berehat sekiranya penat atau berteduh ketika hujan; dan
Mengamalkan sikap sabar, bertimbang rasa dan berhemah, khususnya ketika berhadapan dengan peningkatan trafik.

WCE turut mengingatkan penunggang motosikal supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada, khususnya ketika trafik meningkat. Lorong kecemasan bukan laluan eksklusif untuk penunggang motosikal.
Sebaliknya, lorong tersebut disediakan untuk kegunaan kecemasan, operasi menyelamat, pengurusan insiden serta situasi luar jangka yang memerlukan akses segera demi keselamatan semua pengguna dan kelancaran aliran trafik di lebuh raya.

“Dalam semangat Merdeka, lebuh raya ini dikongsi bersama oleh kita semua. Keselamatan ialah tanggungjawab bersama, dan setiap perjalanan yang selamat bermula dengan setiap keputusan yang kita ambil di jalan raya.”
Bagi mendapatkan bantuan kecemasan di sepanjang WCE, pengguna boleh menghubungi WCE Infoline di talian 1700-81-6600, yang beroperasi 24 jam.
Selamat Hari Kebangsaan ke-69. Pandu selamat, tiba dengan selamat.






