
PETALING JAYA: West Coast Expressway (WCE) menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari di jajaran lebuh raya itu sepanjang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan cuti persekolahan.
Peningkatan jumlah trafik itu dijangka susulan pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung serta melakukan perjalanan antara negeri khususnya antara Lembah Klang dengan destinasi di Selangor dan Perak.
Ketua Operasi Lebuhraya WCE, Ir. Syed Muhd. Naguib berkata, pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan waktu puncak terutama dari lewat petang hingga malam.
“Kami menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari akan menggunakan WCE sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah ini.
“Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan setiap pengguna lebuh raya. Rancang perjalanan, dapatkan rehat secukupnya dan jangan sekali-kali menggadaikan keselamatan semata-mata untuk menjimatkan beberapa minit perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, WCE turut meningkatkan kesiapsiagaan operasi di sepanjang jajaran yang telah dibuka, termasuk rondaan lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang beroperasi 24 jam, selain pemantauan trafik secara berterusan.
Katanya, pengguna juga digalakkan menggunakan aplikasi WCE untuk merancang perjalanan, mendapatkan panduan navigasi serta maklumat trafik masa nyata termasuk paparan kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung.
“WCE turut menasihatkan pengguna memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, baki kad Touch ’n Go atau e-dompet mencukupi, selain mematuhi had laju dan memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan.
“Pengguna yang berasa letih dinasihatkan berhenti berehat di hentian sebelah, plaza tol atau kawasan Rehat dan Rawat (R&R), manakala penunggang motosikal boleh menggunakan kawasan teduhan motosikal yang disediakan,” katanya.
Tambah beliau, semua pengguna diingatkan supaya tidak menggunakan lorong kecemasan kecuali ketika kecemasan kerana laluan itu dikhususkan untuk operasi menyelamat, pengurusan insiden dan situasi yang memerlukan akses segera.
“Pengguna yang memerlukan bantuan kecemasan di sepanjang WCE boleh menghubungi WCE Infoline di talian 1700-81-6600 yang beroperasi 24 jam,” katanya. –UTUSAN
The post WCE jangka trafik lebih 150,000 kenderaan sehari sempena cuti sekolah, Hari Kebangsaan appeared first on Utusan Malaysia.






