SHAH ALAM - Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang telah beroperasi sepanjang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan cuti sekolah.
Ketua Operasi Lebuhraya WCE, Ir Syed Muhd Naquib berkata, peningkatan jumlah trafik itu dijangka berlaku susulan pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan melakukan perjalanan antara negeri.
Menurutnya, pergerakan berkenaan khususnya melibatkan laluan antara Lembah Klang dengan destinasi lain di Selangor dan Perak.
"Kami menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari akan menggunakan WCE sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah ini.
"Peningkatan ini selaras dengan corak perjalanan yang lazimnya lebih tinggi ketika musim cuti, khususnya bagi perjalanan antara Lembah Klang dengan destinasi di Selangor dan Perak," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menambah, ramai rakyat Malaysia akan berada di jalan raya untuk bersama keluarga dan mengunjungi pelbagai destinasi sempena sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah.
"Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan setiap pengguna lebuh raya. Rancang perjalanan, dapatkan rehat yang secukupnya dan jangan sekali-kali menggadaikan keselamatan semata-mata untuk menjimatkan beberapa minit perjalanan,” ujarnya lagi.
**media[3628920]**
Justeru, WCE meningkatkan kesiapsiagaan operasi di sepanjang jajaran yang telah dibuka termasuk rondaan lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang beroperasi 24 jam serta pemantauan keadaan trafik secara berterusan.
Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan perjalanan pada waktu puncak, khususnya dari lewat petang hingga malam.
Dalam pada itu, pengguna digalakkan menggunakan aplikasi WCE App untuk merancang perjalanan, mendapatkan panduan navigasi laluan dan memperoleh maklumat trafik masa nyata termasuk paparan CCTV secara langsung di sepanjang lebuh raya.
WCE turut mengingatkan pengguna supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, baki kad Touch ’n Go atau e-wallet mencukupi serta mematuhi had laju dan memakai tali pinggang keledar pada setiap masa.
Pengguna yang berasa letih juga dinasihatkan berhenti berehat di hentian sebelah, plaza tol atau kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan.
Bagi penunggang motosikal pula, kawasan teduhan motosikal disediakan di sepanjang lebuh raya untuk berehat ketika penat atau berteduh ketika hujan.
WCE turut mengingatkan penunggang motosikal supaya tidak menggunakan lorong kecemasan kerana laluan berkenaan dikhususkan bagi situasi kecemasan, operasi menyelamat dan pengurusan insiden.
Pengguna yang memerlukan bantuan kecemasan di sepanjang WCE boleh menghubungi WCE Infoline di talian 1700-81-6600 yang beroperasi 24 jam.






