
SANDAKAN: Lebih 170 pusat fisioterapi di Sabah masih belum berdaftar dengan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MAHPC) sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pesakit dan akauntabiliti profesional menjelang penguatkuasaan lebih ketat pada tahun depan.
Presiden Persatuan Fisioterapi Sabah (SPA) Herman Sanny berkata hanya kira-kira 30 daripada dianggarkan 200 pusat fisioterapi di negeri ini telah melengkapkan proses pendaftaran.
Beliau berkata daripada kira-kira 100 ahli fisioterapi bebas yang dikenal pasti oleh persatuan itu, hanya sekitar separuh telah mendaftar, walaupun jumlah sebenar yang beroperasi di Sabah mungkin lebih tinggi.
“Peratusan dalam kalangan pengamal sektor swasta sangat rendah dan membimbangkan. Sejujurnya, ramai pengamal masih tidak mengetahui mengenai keperluan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774), ahli fisioterapi diwajibkan mendaftar dengan MAHPC dan mendapatkan Sijil Amalan yang sah sebelum memberikan rawatan.
Herman berkata penguatkuasaan yang pada asalnya dijadual bermula bulan ini telah ditangguhkan berikutan kadar pematuhan yang rendah dalam kalangan pengamal sektor swasta.
“Sehubungan itu, satu lagi tempoh peralihan diberikan. Bermula tahun depan, pegawai penguat kuasa akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan. Kegagalan mematuhi peraturan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata keperluan pendaftaran dan Sijil Amalan bertujuan memastikan ahli fisioterapi mempunyai kelayakan, kompetensi serta sentiasa mengikuti kaedah rawatan dan standard profesional terkini.
Herman memberi amaran bahawa kadar pendaftaran yang rendah boleh menyukarkan pesakit membezakan antara ahli fisioterapi bertauliah dengan individu yang hanya mendakwa menawarkan perkhidmatan fisioterapi.
Beliau mengimbas satu kes apabila sebuah keluarga mendapatkan pandangan kedua selepas menerima nasihat daripada seorang individu yang mendakwa dirinya ahli fisioterapi.
“Selepas membuat semakan, kami mendapati individu itu sebenarnya bukan ahli fisioterapi. Apa yang membimbangkan ialah rawatan yang diberikan serta bayaran yang dikenakan,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa rawatan oleh individu yang tidak berkelayakan boleh mendedahkan pesakit kepada penjagaan yang tidak sesuai, nasihat perubatan yang tidak tepat serta melambatkan proses pemulihan.
Sehubungan itu, Herman menggesa orang ramai supaya meminta bukti pendaftaran dan Sijil Amalan yang sah sebelum mendapatkan rawatan.
“Pesakit perlu memastikan ahli fisioterapi yang merawat mereka adalah pengamal yang berdaftar dan berkelayakan. Ini membantu melindungi mereka daripada menerima rawatan yang salah serta membuktikan bahawa pengamal berkenaan memenuhi standard profesional dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam bidang ini,” katanya.
Beliau turut menggesa ahli fisioterapi yang masih belum berdaftar supaya segera berbuat demikian sebelum penguatkuasaan bermula pada Januari 2027.





