Lebih 200,000 pelarian masih di Malaysia: 'Transit sampai bila?’ - Syed Saddiq

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 3:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 200,000 pelarian masih di Malaysia: 'Transit sampai bila?’ - Syed Saddiq
Syed Saddiq - Foto fail Bernama

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi mempersoalkan peranan kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam menangani isu kemasukan serta penempatan pelarian di negara ini.

Beliau berkata, ini kerana rakyat Malaysia sudah lama memikul beban susulan isu berkenaan.

Menurutnya, sedangkan Malaysia sebelum ini dikategorikan sebagai negara transit bagi pelarian yang menunggu penempatan ke negara ketiga.

"Soalan saya berkenaan UNHCR dijawab secara bertulis oleh Timbalan Perdana Menteri dan ini jawapan balas saya.

"Katanya Malaysia cuma negara transit. Transit sampai bila? Pada 2024, sebanyak 7,012 pelarian (daripada lebih 200,000) berlepas ke negara ketiga melalui UNHCR, namun hanya 1,365 pada 2025 iaitu jatuh 80 peratus.

"Bahkan tiga bulan pertama 2026, cuma 323 orang. Bila UNHCR dan negara penerima nak tunaikan janji mereka?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjawab pertanyaan Syed Saddiq di Dewan Rakyat berhubung pendirian rasmi kerajaan dalam membanteras kemasukan pelarian serta tindakan yang sepatutnya diambil UNHCR bagi proses seterusnya selepas tempoh transit selesai.

Ahmad Zahid berkata, pemegang kad UNHCR akan dijadualkan untuk ditempatkan di negara ketiga selaras dengan hasrat kerajaan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai sebuah negara yang mengutamakan kepentingan hak asasi manusia selepas peringkat transit selesai.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa proses penempatan berkenaan bergantung sepenuhnya kepada negara penerima yang mempunyai kuasa menetapkan syarat serta jumlah pemegang kad UNHCR yang akan diterima pada satu-satu masa.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq turut membangkitkan persoalan mengenai tindakan yang bakal diambil kerajaan Malaysia sekiranya UNHCR dan negara penerima gagal memenuhi komitmen untuk menempatkan pelarian ke negara ketiga.

"Apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan Malaysia sekiranya mereka gagal memenuhi komitmen yang telah dijanjikan?" soalnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved