“Lebih Rapat Dengan Allah Walau Tak Bertudung”- Ustaz Elyas Tegur Kenyataan Artis Wanita [Video]

23 Sep 2025 • 3:57 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Sebelum ini tular mengenai seorang artis wanita yang juga anak kepada seorang penyanyi terkenal memaklumkan dirinya kini sudah tidak lagi berhijab.

Penyanyi berkenaan mengatakan dia mahu memulakan perjalanan yang baharu serta mendalami agama dengan caranya tersendiri.

Bahkan dia menyifatkan dirinya kini lebih rapat dengan Allah SWT meskipun tidak lagi bertudung.

Kenyataan yang diberikan oleh anak penyanyi wanita terkenal itu secara tidak langsung telah meraih perhatian ramai termasuklah golongan agamawan yang kurang bersetuju dengan alasan diberikan.

Ustaz Elyas Ismail minta hentikan guna alasan hipokrit jika bertudung

Baru-baru ini pendakwah bebas, Ustaz Elyas Ismail menerusi satu video di media sosialnya menegaskan menutup aurat adalah perintah Allah SWT.

“‘Saya lebih rapat dengan Allah walau tak bertudung?’ Ayat apa ni? Bertudung, menutup aurat itu adalah perintah Allah SWT. Tanda seseorang itu dia cuba untuk mendekatkan diri kepada Allah mestilah dengan melaksanakan apa yang Allah suruh.

“Ataupun mungkin dia kata, saya tak bertudung tapi saya baik. Macam mana? Surah al-Ahzab ayat 59, Allah SWT memerintahkan supaya perempuan-perempuan melabuhkan pakaian, menutup seluruh badan apabila dia nak keluar.

“Kerana dengan cara yang sedemikian akan lebih dikenali sebagai perempuan yang baik,” ujarnya.

Sifatkan wanita yang menutup aurat adalah perempuan yang baik

Beliau turut menjelaskan seseorang wanita yang menutup aurat dan bertudung itu tanda perempuan yang baik.

“Jadi berhentilah guna ayat-ayat ‘kalau saya bertudung pun (tapi) hipokrit buat apa’. Ini bukan soal hipokrit ke apa, ini arahan Allah, perintah Allah.

“Orang kata ke, orang tak kata ke kalau dah Allah yang suruh kita buat. Malah Nabi SAW pun berpesan sesiapa yang membuat sesuatu perkara untuk nak mencari keredaan Allah, walaupun dengan keadaan marah. Allah akan mencukupkan keperluan kehidupannya itu.

“Tapi kalau dia sibuk sangat nak cara reda manusia dengan murkanya Allah. Maka Allah akan serah dia kepada manusia, maknanya Allah SWT biarkan sahaja dia terumbang-ambing dalam kehidupan.”

Katanya lagi apa yang lebih penting adalah reda Allah bukan reda peminat.

UAI sanggah perbuatan buka tudung

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus turut ada menyanggah kenyataan tersebut dan mengatakan seseorang dekat dengan Allah SWT kerana taat kepada perintahNya.

“Dan kita jauh daripada Allah kerana tidak taat kepada perintahNya,” ujar UAI, lapor Sinar Harian.

Menurut beliau lagi mana-mana individu merasakan dirinya dengan dengan Allah, maka Dia akan menjadikan orang tersebut taat kepada perintahNya.

“Dan tidak boleh orang yang derhaka itu dekat dengan Allah (kerana perbuatan maksiatnya). Apa perintah Allah berkaitan dengan pemakaian tudung ini?” soal beliau.

Dalam hantaran itu Ustaz Azhar turut berkongsi mengenai ayat yang sama dalam surah al-Ahzab dan menegaskan berdasarkan ayat itu hendaklah wanita muslimah memakai tudung.

“(Kerana) orang yang pakai tudung itu lebih dekat dengan Allah dan orang buka tudung itu lebih jauh daripada Allah.”

Selain itu beliau turut mengatakan membuka tudung dan mendedahkan aurat adalah tanda orang berkenaan derhaka kepada Allah serta tidak lagi takut untuk masuk neraka pada hari akhirat nanti.

Source: