
PETALING JAYA – Lebuh Raya Persekutuan dilaporkan mengalami kesesakan teruk pagi ini susulan beberapa kemalangan yang berlaku di laluan berkenaan, termasuk membabitkan motosikal.
Seorang pengguna Threads, @D@iecastprince, berkata, kemalangan berlaku di lorong kanan Lebuh Raya Persekutuan selepas susur keluar dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Menurutnya, satu lagi kemalangan turut dilaporkan berlaku di laluan motosikal berhampiran kawasan sebelum Motorola.
“Teruk kemalangan dekat Federal (Lebuh Raya Persekutuan), lorong kanan melibatkan motosikal besar selepas susur keluar dari Lapangan Terbang Subang.
“Laluan motosikal sebelum Motorola pun ada kemalangan dan lorong motosikal pun jem panjang,” katanya dalam perkongsian di Threads.
Menurutnya, kesesakan di laluan berkenaan sudah berlaku sekitar pukul 8.20 pagi ketika dia melalui kawasan itu dari arah Subang.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian pengguna media sosial lain yang memaklumkan mereka sudah berada dalam kesesakan lebih satu jam dari kebiasaan.
“Lambat la masuk pejabat pagi ini, baru dapat gerak sejengkal. Memang sesak teruk di Federal (Lebuh Raya Persekutuan),” kata Azina.
“Bertabah la semua yang dari Shah Alam nak ke KL (Kuala Lumpur) ke Subang, banyak kemalangan pagi ini. Kereta tak bergerak,” kata @Ryzz.
Dalam perkembangan berkaitan, pengguna @Azhashim_ berkongsi video memaparkan tindakan pemandu sebuah kereta malalui lorong motosikal sehingga hampir menyebabkan kemalangan.
“Sebabkan kau aku ‘menggelupur’ brek, sikit lagi nak melekat dekat pintu kiri kau. Lepas tu kau pergi je macam itu. Semoga lampu trafik kau sentiasa merah,” katanya.
Setakat ini, belum ada maklumat lanjut daripada pihak berkuasa mengenai jumlah kemalangan, jenis kenderaan yang terlibat serta keadaan mangsa. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih satu kemalangan, Lebuh Raya Persekutuan sesak teruk appeared first on Kosmo Digital.






